GEORGE TOWN – Bukan setakat sampah makanan bersepah malah sekumpulan kanak-kanak main mercun dalam celahan kubur.
Itu suasana petang raya Aidilfitri di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak di sini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati lebih 30 peminta sedekah warga asing duduk sepanjang laluan masuk tanah perkuburan itu bermula jam 5.30 petang semalam.
Tidak cukup itu, masing-masing menjadikan laluan itu sebagai tempat tidur dan sisa makanan turut di buang di lokasi sama.
Seorang pengunjung Roshita Abdul Kader, 45, berkata, dia terkejut melihat kawasan tanah perkuburan itu dipenuhi sampah sarap khususnya di kawasan kedua-dua pintu masuk.
“Memang tiap-tiap tahun musim perayaan ada peminta sedekah di sini tetapi hari ini terlalu ramai dan rata-rata dipercayai Rohingya berdasarkan percakapan mereka.
“Kita faham bulan baik begini ramai yang akan bersedekah tetapi cara mereka sudah mencemarkan kawasan kubur tersebut tambahan pula sisa makanan diletakan di atas kubur.
“Bukan saja itu, ada yang tidur di hadapan kubur keluarga saya sekali gus menyukarkan kami untuk menziarah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung yang ingin dikenali sebagai Nordin berkata, anaknya takut untuk masuk ke kawasan kubur susulan anak-anak warga asing tersebut melemparkan mercun.
“Ibarat macam duduk negara asing malah mereka langsung tak hormati adab ketika berada di tanah perkuburan.
“Lebih geram apabila tiba-tiba mercun telur naga dilemparkan berhampiran ketika kami sedang membaca doa. Ia mengakibatkan anak perempuan saya berusia tujuh tahun terkejut dan takut untuk berjalan walaupun kami sudah mahu pulang.
“Saya harap pihak berwajib terutamanya penguatkuasa membuat pemantauan kerana tindakan mereka secara langsung mengancam pengunjung yang ziarah kubur sini,” jelasnya. – MalaysiaGazette