ISTANBUL- Masjid Biru di sini dibuka sepenuhnya pada Jumaat yang juga hari pertama Syawal selepas ditutup untuk kerja-kerja baik pulih bermula 2018.
Agensi berita Andolu melaporkan, Presiden Turkiye Reccep Tayyip Erdogan ketika menghadiri majlis pembukaan masjid berkenaan berkata, Masjid Biru adalah antara simbol terpenting Istanbul.
Dalam temubual bersama Anadolu, Pengurus Serantau Foundations Directorate General, Hayrullah Celebi berkata, yayasan itu mematuhi prinsip untuk memastikan masjid-masjid yang sedang menjalani kerja pembaikan tetap dibuka untuk tujuan ibadah dan ziarah.
Tambahnya, ketika kerja baik pulih dijalankan selama lima tahun, Masjid Biru hanya ditutup lima bulan sahaja dan bakinya masjid berkenaan tetap beroperasi meskipun dengan kapasiti terhad.
Masjid yang dipanggil Sultanahmet Camii dalam Bahasa Turki dibina oleh Sultan Ahmet I pada 1609-1616.
Orang Eropah memanggilnya Masjid Biru berikutan jubinnya yang indah berwarna biru, hijau dan putih. – Anadolu-Bernama