KUALA LUMPUR – Seorang peniaga ditahan polis selepas disyaki menyerang dan mencederakan seorang pesara tentera yang berang mencampakkan lemang yang dibeli daripada lelaki itu.
Pesara itu dikatakan berbuat demikian kerana lemang yang dibeli tidak masak sempurna.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu.
Katanya, semasa kejadian sekitar jam 8 malam itu, mangsa yang merupakan seorang pesara tentera singgah ke gerai peniaga lemang itu untuk menukar juadah itu atas alasan lemang itu masih mentah dan tidak dimasak sempurna.
“Peniaga lemang itu kemudian membelah salah satu lemang yang telah dibeli oleh mangsa dan menunjukkan lemang itu sudah masak sepenuhnya.
“Namun, tiba-tiba berlaku pertengkaran mulut antara peniaga itu dengan pembeli lemang,” katanya dalam kenytaan yang dikeluarkan hari ini.
Tambah beliau, tindakan mangsa yang dikatakan mencampak lemang di dalam bekas plastik serta merakam video menggunakan telefon bimbitnya menyebabkn suspek naik angin dan gagal mengawal dirinya.
“Suspek mula marah mangsa yang mencampak lemang tersebut an lagi berang selepas melihat mangsa merekodkan dalam telefon bimbit sambil bercakap gerai tersebut menjual lemang yang tidak masak dengan sempurna seolah-olah mahu menghebohkan kepada orang ramai.
“Disebabkan itu, suspek telah memukul pengadu dengan menggunakan buluh lemang yang telah dipotong.
“Akibat serangan suspek itu, mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian telinga sebelah kiri dan tangan kanan akibat terkena serpihan buluh lemang itu. Sambil menahan kesakitan, angsa menjerit ke arah peniaga itu bahawa akan membuat laporan polis atas serangan tersebut,” tambahnya.
Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Melaka sebelum membuat laporan polis.
Tegas Christopher lagi, bertindak atas laporan polis itu polis berjaya menjejaki dan menahan seorang lelaki tempatan yang merupakan peniaga lemang di tepi Jalan Kota pada 22 April 2023.
“Suspek kemudian dibawa ke balai polis dan diambil keterangan untuk membantu siasatan lanjut kes ini. Peniaga itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” kata beliau.
Pesara tentera warga emas yang terluka di tangan kanan akibat dipukul dengan buluh lemang oleh peniaga dalam insiden Jumaat lalu di Melaka.Sejak Jumaat lalu, satu rakaman video memaparkan insiden itu telah tular di media sosial.
Video tular itu dipercayai dimuat naik oleh anak mangsa yang berada di lokasi kejadian semasa bapanya dipukul peniaga lemang itu. – MalaysiaGazette