Gambar hiasan

IPOH – Seorang ibu mendakwa sebuah tadika swasta di sini cuai dan gagal memantau anak lelakinya yang berusia 4 tahun sehingga terjatuh ke dalam kolam renang bersebelahan premis berkenaan sehingga menyebabkan kematian anak tunggalnya itu, hari ini.

D Nilaveni, 40, yang juga seorang peniaga berkata, pihak taska juga sehingga hari ini gagal menjelaskan sebab sebenar anaknya V Thanes Nair ditemukan tidak sedarkan di dalam kolam renang dewasa pada 17 April lepas.

“Hanya setelah anak saya berada di Klinik Kesihatan Chemor baru saya dihubungi dan diberitahu anak saya terjatuh, tetapi pada mulanya tidak diberitahu anak saya sebenarnya jatuh di dalam kolam renang,” katanya kepada media ketika ditemui hari ini dan turut mendakwa tidak mengetahui bersebelahan premis itu ada kolam renang.

Menceritakan kejadian yang juga di hari pertama anaknya mengikuti kelas percubaan di tadika itu, Nilaveni berkata anaknya kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) namun didakwa telah berada dalam kedaaan kritikal.

Anaknya meninggal dunia pada 10.30 pagi tadi setelah enam hari bertarung nyawa di HRPB.

“Saya berasa sangat kecewa kerana anak saya tidak dihantar dengan ambulans dengan kadar segera untuk mendapat rawatan dan pihak taska gagal memantau dan menjaga anak saya yang hanya berusia 4 tahun ketika berada dalam premis itu, bagaimana anak saya yang sepatutnya dipantau boleh pergi ke kawasan kolam renang itu,” dakwanya.

Thanes Nair merupakan anak tunggal Nilaveni hasil perkahwinannya dengan V Vijay, 43, selepas enam tahun berkongsi hidup.

Nilaveni berkata, dia dan suami telah membuat laporan polis sehari selepas kejadian.

“Saya tidak mahu kanak-kanak lain menerima nasib yang sama seperti anak saya. Justeru saya mahu pihak berkuasa menyiasat apakah sebenarnya yang terjadi kepada anak saya pada hari kejadian,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Polis Daerah Ipoh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Sementara itu,  Kinder Labz dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihak pengurusan dan kakitangan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan telah memberikan keterangan  serta  memberikan semua bukti yang ada termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.

“Kami boleh sahkan bahawa Thanes menghadiri kelas percubaan di sekolah kami apabila tragedi itu berlaku kira-kira pukul 10 pagi pada hari kejadian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan dalam satu kenyataan berkata laporan polis telah dibuat oleh guru besar taska berkenaan di Balai Polis Chemor pada 18 April lepas.

Hasil siasatan awal katanya mangsa didapati merupakan seorang kanak-kanak autisme yang terlalu aktif dan suka memanjat.

“Menurut pihak taska, ibu mangsa tidak menyertakan sebarang surat yang menyatakan mangsa ialah seorang kanak-kanak autisme. Walau bagaimanapun, pengadu bersetuju memberi peluang kepada ibu mangsa untuk menempatkan mangsa sebagai murid percubaan dalam tempoh dua jam,” katanya.

Yahaya berkata,menurut laporan pengadu, mangsa telah berada di dalam kolam renang orang dewasa setelah didakwa menghilangkan diri dan pengadu telah meminta pertolongan daripada tenaga pengajar lain memberi bantuan CPR kepada mangsa seterusnya dihantar ke hospital untuk rawatan susulan.

“Pada 18 April, pembedahan telah dilakukan ke atas mangsa di HRPB dan menerima rawatan susulan di HRPB, pada pagi ini polis telah terima maklumat kematian mangsa daripada pihak hospital.

Punca kematian adalah mati otak disebabkan lemas dan kegagalan fungsi organ.“

Yahaya berkata setakat ini kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – BERNAMA