Pusat Tuisyen Fast Track di Sungai Dua, Pulau Pinang menawarkan yuran berkonsepkan Rahmah iaitu serendah RM33 bagi empat subjek.

GEORGE TOWN – Bagi memastikan golongan kurang berkemampuan (B40) tidak tercicir dalam bidang pendidikan, sebuah pusat tuisyen di Sungai Dua di sini, menawarkan kelas tambahan pada kadar yuran Rahmah iaitu serendah RM33.

Pengasas Pusat Tuisyen Fast Track, Syed Ahsan Shahul Hamid berkata, pihaknya bersama 15 tenaga pengajar mengambil inisiatif itu selepas mengambil kira faktor kos sara hidup yang perlu ditanggung golongan B40 ketika ini.

Jelas beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan golongan berkenaan hanya mampu menanggung kos pembelajaran anak di sekolah berbanding menghantar pelajar itu ke kelas tambahan berbayar.

Syed Ahsan.

“Selepas mengambil kira beberapa faktor, kita tawarkan yuran konsep Rahmah iaitu serendah RM33 sebulan bagi empat subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains kepada pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5.

“Setakat ini, kira-kira 30 pelajar telah daftar dengan kami sejak ia diperkenalkan pada pertengahan bulan lalu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Syed Ahsan, yuran tuisyen dengan konsep rahmah ini membantu memberi pengurangan harga sebanyak 75 peratus berbanding harga asal iaitu sehingga RM150 bagi matapelajaran berkenaan.

“Jika sebelum ini, konsep rahmah atau ihsan itu diperkenalkan terhadap jualan makanan, jadi ia sesuai juga diguna pakai bagi pembayaran yuran tuisyen.

“Selain itu, antara yang akan ditawar ialah pakej pembelajaran secara dalam talian supaya pelajar dari negeri lain juga boleh mengikutinya.

Tawaran tuisyen itu dibuat bagi pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5.

“Pembelajaran di sini berbentuk ‘fun learning’, interaktif dan futuristik dan diharap peluang ini diambil pelajar dengan sebaiknya kerana kita tidak mahu ada yang tercicir,” katanya.

Pusat Tuisyen Fast Track telah beroperasi sejak 10 tahun lalu dan mempunyai kira-kira 100 pelajar.

Mereka menawarkan pakej pembelajaran lain termasuk ‘home learning’. – MalaysiaGazette