GEORGE TOWN – “Syukur masih ada pihak yang sudi menerima kami (bekas banduan) sebagai pekerja biarpun persepsi masyarakat sering dilihat negatif sehingga kami dipinggirkan,” kata bekas banduan dikenali sebagai Jan.
Jan, 30, antara 20 bekas banduan yang diterima bekerja di restoran Nasi Kandar Hameediyah di Lebuh Campbell di sini, menerusi program bersama Jabatan Penjara Malaysia bagi memberi peluang kepada golongan itu dan Orang Diparol (OD).
Jan yang sebelum ini dihukum penjara lapan bulan atas kesalahan berkaitan dadah berkata, peluang yang diberikan kepadanya digarap sebaik mungkin dan mengelak daripada kembali terjebak melakukan kesalahan itu.
“Memang terharu dengan peluang diberikan ini kerana saya dibebaskan awal empat bulan untuk bekerja di sini.
“Jadi saya anggap ini permulaan terbaik untuk saya berubah menjadi insan lebih berguna.
“Bukan saja itu, pekerjaan ini juga membolehkan saya berdikari dan memperoleh pendapatan bagi menyara diri dan keluarga sebaik keluar dari penjara,” katanya yang berasal dari Sik, Kedah.
Menurut seorang lagi bekas banduan yang ingin dikenali sebagai Awie, 29, peluang pekerjaan ini memberi kesempatan untuknya memperbetulkan kesilapan diri.
“Pengalaman menjalani hukuman penjara menyedarkan saya bahawa tiada jalan pintas selain keazaman kuat untuk berjaya dalam hidup.
“Sejujurnya bukan mudah untuk orang menerima kami bekerja semula jadi saya anggap ini peluang kedua buat saya untuk menyara kedua-dua ibu bapa kini di kampung,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Restoran Hameediyah Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, selain mengatasi masalah kekurangan pekerja warga asing pengambilan bekas banduan dilakukan pihaknya sebagai inisiatif memberi peluang kedua kepada golongan berkenaan memulakan kehidupan baharu.
Jelas Muhammad Riyaaz, selain pendapatan bulanan, pihaknya turut menyediakan tempat tinggal, makanan dan minuman untuk 20 bekas banduan itu ketika waktu kerja.
“Mungkin ramai majikan di luar sana beranggapan menggajikan bekas banduan mengundang masalah tapi bagi saya mereka (bekas banduan) boleh mengikut peraturan ditetapkan sekiranya pemantauan berterusan dilakukan.
“Setiap manusia mempunyai kesilapan dan tidak wajar untuk kita menghukum mereka selama-lamanya dan saya harap inisiatif yang diambil pihak kami akan menjadi contoh untuk majikan lain mengambil bekas banduan bekerja,” katanya. – MalaysiaGazette
Nasi ganja, mee tonggek, nasi dadah, dan air dadah. Nasi rumah lebih menyelerakan.