Barang kemas dijadikan pelaburan oleh golongan B40 dan M40 untuk kegunaan masa depan.

GEORGE TOWN – Cukai barangan mewah yang akan diperincikan Kerajaan Persekutuan pada Jun depan dijangka memberikan impak besar kepada industri emas sekiranya ia tersenarai.

Kebimbangan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif SMS Deen Jewellers, Mohamad Shaifudeen Mohamed Sirajudeen susulan trend pembelian barang kemas semakin merudum selepas pasca pandemik Covid-19, selain harga barang perhiasan itu melambung tinggi ketika ini.

Menurut Mohamad Shaifudeen, trend pelaburan menerusi pembelian barang kemas wujud ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila rata-rata rakyat di negara ini memiliki wang tambahan susulan tiada pergerakan aktiviti luar.

Mohamad Shaifudeen.

Bagaimanapun, jelas beliau, pembelian itu mula berkurangan selepas pintu di sempadan negara dibuka sehingga 2022 mencatatkan rekod jualan merudum disebabkan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Kalau kita lihat kesedaran pembelian barang kemas ini sebagai satu pelaburan wujud ketika PKP dan kini apa yang boleh saya gambarkan barang kemas hanya dibeli oleh mereka yang mahu berkahwin atau untuk majlis tertentu.

“Bukan saja itu, ramai juga yang terpaksa menggadaikan barang kemas mereka demi kelangsungan hidup dan semakin kurang pelanggan datang membeli emas baharu sebaliknya mereka datang untuk trade-in.

“Jadi kita bimbang sekiranya barang kemas tersenarai dalam cukai barangan mewah ia bukan saja menjejaskan industri perniagaan emas malah turut memberi kesan kepada pelanggan yang menjadikan emas sebagai pelaburan masa depan,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Tambah Mohamad Shaifudeen, kerajaan perlu meneliti isu ini kerana barang kemas bukan hanya dibeli oleh golongan bangsawan.

“Barangan mewah margin tinggi namun tiada nilai jualan semula, selalunya dimiliki golongan berpendapatan tinggi bukan barang kemas.

“Golongan B40 dan M40 tanpa mengira bangsa di negara ini, cenderung untuk membeli barang kemas 916 kerana mereka tahu ia mempunyai nilai lebih tinggi berbanding harga belian sekiranya menjualnya semula di saat memerlukan.

“Malah, sudah menjadi budaya tempatan aset itu diturunkan kepada satu generasi ke generasi lain dalam keluarga dan bagi setengah bangsa, contohnya India mereka akan membeli barang kemas kepada anak perempuan sejak berusia belasan tahun agar ia boleh digunakan sebagai hantaran perkahwinan nanti,” jelasnya.

Pekerja SMS Deen Jewellers menunjukkan barang kemas yang dijual di premis mereka di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut Mohamad Shaifudeen berkata, harga barang kemas yang melambung ketika ini sudah memberi impak kepada jualan dan ia dibimbangi akan lebih teruk sekiranya cukai barangan mewah dilaksanakan.

“Sekarang harga emas RM284 satu gram, jadi sebentuk cincin mungkin cecah RM1,000 sudah membuatkan ramai berteka teki untuk milikinya.

“Cuba bayangkan jika cukai barangan mewah dikenakan pada kadar 10 peratus, pelanggan perlu membayar RM300 untuk barangan bernilai RM3,000 sedangkan RM300 itu boleh digunakan bagi membeli barangan keperluan keluarga.

“Jadi sebagai salah seorang pengiat dalam industri emas ini, saya harap kerajaan kaji secara perinci senarai barangan yang perlu dikenakan cukai barangan mewah,” katanya.

Media tempatan pada Mac lalu melaporkan, Kerajaan Persekutuan dijangka mengumumkan perincian mengenai pelaksanaan cukai barangan mewah Jun depan, termasuk jenis barangan yang dikenakan cukai.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya kini sedang memperincikan perkara itu termasuk jumlah cukai yang akan dikenakan. – MalaysiaGazette