Pelanggan mengambil juadah menu Rahmah yang dijual dengan harga RM5.00 satu pinggan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 27 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Konsep ‘Rahmah’ yang kini menjadi sebahagian daripada identiti Kerajaan Madani didakwa hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Mahdzir Ibrahim berkata, beliau hairan apabila konsep tersebut digambarkan sebagai idea asal Perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Rahmah telah dan sedang digambarkan sebagai ‘idea’ Anwar Ibrahim di bawah konsep Madani.

“Bagi saya naratif ini satu kesilapan yang menjolok mata, malah ia jatuh ke tahap pembohongan intelektual yang melampau dan tidak tahu malu,” kata Mahdzir.

Beliau menegaskan konsep itu mula diperkenalkan oleh Mahathir dan disebut dalam ucapan perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu, Sabah pada 16 Februari 2020.

Dalam ucapan tersebut Mahathir telah menjelaskan mengenai Gagasan Rahmah.

“Saya petik sedikit ucapan (Mahathir) itu di sini, ‘Seiring dengan falsafah tersebut, pada 25 Oktober 2019, Kerajaan bersetuju agar gagasan Rahmah dijadikan sebagai dasar pentadbiran Islam Model Malaysia berteraskan Maqasid Syariah dan Rahmatan Lil ’Alamin – yang bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni, bertepatan dengan suasana, adat serta budaya bangsa Malaysia sendiri.

“… Kita percaya dasar ini mampu memberi impak positif kepada rakyat dan negara dalam meningkatkan kesejahteraan sosial, kemakmuran dan perpaduan hidup masyarakat berbilang kaum dan agama, selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang telah dilancarkan oleh Kerajaan,” katanya.

Mahdzir berkata, ‘Rahmah’ sudah bermula sejak Mahathir Kembali menjadi Perdana Menteri bagi kali kedua.

Ia sebuah gagasan baharu yang diikat dengan satu pelan tindakan untuk menjadikan ianya sebagai satu dasar negara.

Dalam konteks tersebut gagasan Rahmah diikat dengan ‘Wawasan Kemakmuran Bersama 2030’ (WKB 2030).

“Kesimpulannya, naratif ‘Rahmah’ ini sebenarnya bukan cetusan idea kerajaan Madani apatah lagi Anwar Ibrahim seperti yang digembar-gemburkan.

“Maka, naratif ini perlu diperbetulkan kerana, gagasan Rahmah tidak memerlukan ‘Menu Rahmah’, ‘Simen Rahmah’, ‘Tol Rahmah’ dan sebagainya. Gagasan Rahmah dalam konteks perlaksanaanya adalah suatu pendekatan sistem pentadbiran yang lebih bermaruah dan manusiawi.

“Namun, apabila gagasan Rahmah ini sampai ke tangan ‘Madani’, ia menjadi seperti idea 1Malaysia hingga pelekat, poster, ayat dan segala benda di‘rahmah’kan,” kata beliau dalam ruangan pendapat di Malaysiakini.

Justeru Mahzir berharap naratif Rahmah dikembalikan kepada fungsi asalnya iaitu menjadikan pentadbiran kerajaan lebih bermaruah, berintegriti dan manusiawi.

Katanya, Kerajaan Madani boleh memperbetulkan naratif tersebut jika mereka mahu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ada² saja, geng² GTA @Mahdzir Ibrahim ni..fikir waras & positif ja demi kebaikan Negara Malaysia juga.. tidak perlu jadikan isu politik murahan..

Comments are closed.