ISU islamofobia bukan isu bermusim. Tidak lama dahulu, tindakan ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockhlom pada Januari lepas dikutuk sekeras-kerasnya oleh umat Islam serata dunia. Ramai yang marah dan kecewa dan ini menunjukkan insiden seumpama ini bukan yang pertama malah kita tahu bukan yang terakhir juga.
Kita semua nampak bahawa kejadian ini merupakan sebahagian daripada manifestasi islamophobia atau kebencian terhadap Islam. Umumnya Islamofobia ini merujuk kepada rasa fobia atau kebimbangan terhadap Islam sama ada pada penganutnya, ajarannya, budayanya atau apa sahaja yang berkaitan dengan Islam. Dari segi makna, menurut Pelapor Khas PBB, Islamofobia bermakna “suatu permusuhan dan ketakutan tidak berasas terhadap Islam dan akibat ketakutan atau kebencian pada orang Islam atau majoriti daripada mereka.
Sehingga hari ini Islamofobia masih menjangkiti sebahagian masyarakat dunia termasuk dari Barat. Antara faktornya adalah kemunculan masyarakat Islam dari jalur keras melalui fenomena terorisme, ISIS, dan wahabisme yang dianggap menganuti radikalisme atau radikal Islam. Jika dilihat dari segi sejarah, istilah Islamofobia telah mula digunakan di Perancis oleh Etienne Dinet dan Slima Ben Ibrahim pada 1925 dalam bukunya “Acces De Delire Islamophobe”.
Namun istilah Islamofobia ini tidak popular dan tidak menjadi isu pada masa itu. Di Amerika, istilah Islamofobia telah mula digunakan pada 1991 melalui satu artikel di dalam majalah ‘Insight’, namun masyarakat tidak ambil peduli dan tidak memberikan apa-apa reaksi terhadapnya. Istilah Islamofobia menjadi semakin popular dan mencapai kemuncak penggunaannya selepas 11 September 2001 apabila Menara Pusat Perdagangan Dunia di New York runtuh akibat serangan pangganas al-Qaeda. Peristiwa ini telah menjadi pencetus utama kepada fenomena Islamofobia diikuti dengan pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 dan pengeboman di London pada 7 Julai 2005.
Berdasarkan latar belakang penggunaan istilah Islamophobia, kita dapat melihat bahawa ia mempunyai kaitan langsung dengan keganasan atau terrorisme yang melibatkan kumpulan radikal Islam. Dengan perkataan yang mudah Islamophobia dan radikal Islam saling kait-mengait antara satu sama lain. Tidak dinafikan bahawa terdapat kumpulan radikal Islam seperti ISIS dan al-Qaeda yang sanggup membunuh sesiapa sahaja termasuk wanita dan kanak-kanak tidak berdosa atas nama agama. Mereka bukan sahaja melakukan keganasan terhadap orang yang berbeza agama dengan mereka, tetapi juga orang Islam yang tidak sependapat dengan mereka dalam hal agama. Mereka dikenali sebagai golongan yang tidak toleran dan berkehendak memaksakan tafsiran agama yang dipegang oleh mereka ke atas orang lain. Bagi mereka tafsiran agama yang berbeza dengan mereka adalah salah dan perlu dihapuskan.
Walaupun kumpulan ini sangat kecil dan tidak mewakili umat Islam seluruhnya namun ia telah membentuk persepsi negatif dalam bentuk diskriminasi pelbagai yang dimotivasikan oleh ketakutan dan kebimbangan terhadap Islam atau umat Islam. Persepsi negatif yang terbina akibat fobia terhadap Islam ini dapat dilihat dalam pelbagai aspek merangkumi pandangan serong terhadap undang-undang, nilai dan budaya yang dibawa oleh Islam. Persepsi negatif yang terbentuk ini dapat dikesan dalam Laporan yang dibuat oleh Runnymede di London bertajuk ‘Islamofobia: A Challenge for Us’ All, yang secara khusus
menyatakan bahawa Islam dilihat sebagai blok monolitik, statik dan tidak berkembang; lebih lemah berbanding Barat; tidak bertamadun, tidak rasional, primitif; bersikap ganas, agresif, mengancam, menyokong keganasan dan terlibat dalam pertembungan peradaban.
Rumusan yang dibuat Runnymede ini mengesahkan bahawa Islam telah disalahfahami oleh banyak pihak terutamanya masyarakat bukan Islam di barat. Manifestasi Islamofobia dizahirkan dalam pelbagai bentuk ekspresi seperti penulisan buku, penghasilan filem dan perbuatan yang merangkumi keganasan, protes dan gerakan Islamofobia itu sendiri. Kes pembunuhan kejam umat Islam di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood di Christchurch, New Zealand, semasa sembahyang Jumaat pada 15 Mac 2019 adalah antara tragedi terburuk akibat Islamophobia.
Selain itu terdapat juga kes diskriminasi undang-undang yang dilakukan negara barat. Switzerland misalnya telah meminda undang-undang bagi mengharamkan pembinaan menara-menara masjid, walaupun ia melanggar hak asasi umat Islam di Sw itzerland, dan mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ’Amnesty International. Terdapat juga kes di mana pelajar bertudung tidak dibenarkan bersekolah seperti yang berlaku di Kanada dan Perancis. Demikianlah buruknya kesan Islamophobia kepada masyarakat Islam.
Sehubungan dengan itu, persepsi yang salah ini perlu dibetulkan segera. Terdapat dua perkara penting yang perlu dijadikan keutamaan iaitu menyampaikan ilmu dan maklumat kepada masyarakat dunia tentang prinsip-prinsip Islam berkaitan kehidupan dan kemanusiaan; serta mengajak umat Islam untuk hidup secara harmoni dan bertoleransi berdasarkan ajaran Islam sebenar. Tanggungjawab ini mestilah dipikul oleh setiap individu Islam termasuk institusi-institusi, badan-badan dan pertubuhan Islam, dan pemimpin umat Islam. Gerakan menangani Islamophobia telah giat dijalankan di seluruh dunia antaranya Forum Against Islamophobia and Racism, Islamic Human Rights Commission di UK, the Council on American-Islamic Relations di Amerika, European Muslim Initiative for Social Cohesion di Denmark dan Perancis, Jewish-Muslim Cooperation Platform di Belgium, Austrian Muslim Initiative di Austria dan sebagainya.
Malaysia sebagai sebuah negara umat Islam boleh menjadi model menerusi tatacara dan urus takbir negara yang adil dan inklusif sifatnya. Enam tonggak Malaysia Madani yang menjadi kerangka dasar pentadbiran kerajaan boleh dijadikan contoh tentang sikap terbuka, toleransi dan meraikan kepelbagaian masyarakat oleh sebuah negara yang diterajui oleh umat Islam. Mesej keamanan dan kedamaian perlu sentiasa disebarluaskan untuk menyedarkan masyarakat dunia tentang kesejahteraan yang dibawa oleh Islam. Warkah Saidina Ali R.A kepada Malik Ashtar turut menjadi bukti tentang mesej keinsanan, kesejahteraan dan keadilan Islam. Oleh sebab itu persepsi yang mengaitkan Islam dengan keganasan adalah tidak benar, dan Islamofobia yang berasaskan prejudis perlu dihentikan.
Oleh: Dr Abd Hakim Mohad
Pusat Pengajian Teras
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia