Pemilik Pak Dean Lemang Tradisi, Kamariah Yeop

AMPANG – Juadah lemang dan rendang tidak dapat dipisahkan dengan umat Islam di negara ini setiap kali datangnya sambutan Aidilfitri malah menjadi menu wajib di setiap rumah pada hari raya pertama.

Keenakan lemang tradisi yang dimasak menggunakan beras pulut, santan asli, daun lerek dan buluh tetap menjadi pilihan warga kota biarpun Aidilfitri seminggu berlalu.

Juadah tradisi ini bukan sahaja mendapat sambutan menggalakkan daripada warga tempatan bahkan mampu menarik minat pelancong asing hingga mampu menjana pendapatan lumayan kepada peniaga.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Lebuhraya Lingkaran Tengah II (MMR2) Hulu Klang dekat sini mendapati, peniaga gerai di sekitar kawasan berhampiran Zoo Negara bagaikan ‘berperang’ apabila lemang menjadi jualan utama.

Salah satunya tarikan utama di situ ialah Pak Dean Lemang Tradisi yang menjadi pilihan utama warga kota bukan sahaja lemang, bahkan rendang dan ketupat turut dijual untuk memenuhi permintaan seisi keluarga.

Menurut pemiliknya, Kamariah Yeop, 66, dia yang mengusahakan perniagaan itu hampir 40 tahun bersama Allahyarham suaminya, Saharudin Ibrahim sebelum ini dan kini dibantu anak mereka berusia 33 hingga 46 tahun.

Anak kelahiran Bagan Datuk, Perak itu akan ‘berkampung’ bersama anak dan cucunya seawal lima hari sebelum Hari Raya Aidilfitri dan berterusan sehingga sebulan bagi menjual juadah tradisi itu.

“Sebelum lima hari raya, saya buka gerai sampai sebulan raya, hari pertama, kedua dan raya pertama adalah waktu yang paling saya sibuk. Saya tak ada cuti, tak ada rehat, Syawal depan (30 Syawal) baru habis berniaga.

“Saya mula berniaga di sini sejak Selasa lalu, sejak minggu lepas pun saya sudah mengambil pesanan beratus-ratus batang, malah sampai beribu lemang.

“Biasanya orang akan datang malam raya ini, mereka akan serbu gerai saya, jadi saya kena jaga pelanggan, kalau ada pesanan saya akan tanya pukul berapa nak ambil, jadi dia tak payah beratur dan menunggu lama,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Pak Dean Lemang Tradisi
Salah seorang anak pemilik Pak Dean Lemang Tradisi sedang membakar lemang di gerai berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah II (MMR2) Hulu Klang.

Menurut Kamariah, saban tahun dia perlu menyediakan 100,000 batang buluh, selain 100,000 daun kelapa muda untuk menganyam ketupat nasi sepanjang Aidilfitri.

“Daun ketupat kosong ini saya ambil sebelum puasa 100,000 helai dari Bagan Datuk, Perak sebelum puasa, dan saya mula menganyam kira-kira sehari 1,000 ketupat, dibantu anak dan cucu saya.

“Saya masih mengekalkan resepi turun temurun daripada arwah mak, sampai kepada saya, anak dan cucu. Sekarang saya sudah ada empat generasi dalam perniagaan ini.

“Saya juga ada buat ketupat palas, resepi turun temurun keluarga saya dari Bagan Datuk Perak.

Ditanya mengenai harga pula, Kamariah masih mengekalkan harga sama khususnya lemang sejak tiga tahun lalu serendah RM16 hingga RM18 mengikut saiz.

“Pelanggan kita sudah terlalu ramai, mereka masih mengenali saya (pemilik) Pak Dean Lemang Tradisi, jadi saya tetapkan harga dua tiga tahun lepas pun memang harga dia macam ini.

“Kami tidak naikkan harga tinggi, walaupun harga barang sudah naik, macam mana pun saya masih jual pada harga rendah, harga Rahmah.

“Kalau ikut harga pasaran, lemang dijual pada harga RM20, RM22, RM24, RM26 dan RM28, tapi di sini saya masih jual pada harga lama bermula RM16, RM18 dan RM20 katanya. – MalaysiaGazette