gelaran Mohamad
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam lokasi membabitkan negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) hanyalah bagi mendekati rakyat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, penganjuran majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri bersama Perdana Menteri dan anggota Kabinet tidak ada kaitan dengan PRN.

Katanya, penganjuran majlis itu dapat memberikan akses sebanyak mungkin kepada rakyat dari negeri berkenaan untuk hadir berbanding jika dianjurkan di Putrajaya sahaja.

“Bukan semua orang dari negeri (lain) dapat berkunjung ke rumah terbuka ini jika ia diadakan di Seri Perdana, Putrajaya, maka pilihan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk mendekati dan meraikan sebanyak mungkin rakyat.

“Malah, banyak acara peringkat kebangsaan juga dirancang untuk diadakan di luar Putrajaya bagi mencapai hasrat menguatkan kerjasama (dengan negeri-negeri termasuk dipimpin pembangkang) ini,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

Mohamad ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah di Alor Setar malam tadi.

Presiden Amanah itu berkata, kerajaan Persekutuan komited untuk membuat perbelanjaan berhemah, sekali gus tiada isu pembaziran menerusi penganjuran majlis itu.

Sebelum ini Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengkritik program berkenaan yang dianggap sebagai program kempen PRN.

Tambahan menurut Muhammad Sanusi program itu bakal menelan belanja yang tinggi kerana diadakan di enam lokasi berbanding jika hanya diadakan di Putrajaya seperti kebiasaan.

Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri akan dimulakan di Kedah pada 29 April ini.

Ini diikuti Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan kemuncak sambutan rumah terbuka itu akan berlangsung di Selangor pada 14 Mei.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast