KOTA BHARU – Satu-satunya kilang mancis di Malaysia yang terletak di Kelantan dan mengeluarkan mancis cap lada mungkin gulung tikar.
Pemilik Kelantan Match Factory, Tan Chong San berkata, buat sementara waktu, beliau bercadang meneruskan operasi selama tiga hingga lima tahun untuk menilai keadaan.
“Jika betul-betul tidak boleh bertahan lagi, maka kami akan menamatkan operasi kilang ini.
“Hakikatnya, kami tidak boleh melakukan transformasi untuk kilang mancis,” katanya dalam wawancara bersama Oriental Daily.
Beliau berkata, sebelum krisis kewangan pada 1998, kilangnya mempunyai 250 pekerja, tetapi kini hanya tinggal kira-kira 30 orang.
Katanya, pada masa itu terdapat dua syif di kilang, tetapi perniagaan menurun susulan penggunaan pemetik api.
“Sekarang perniagaan pemetik api juga menurun kerana kemunculan vape.
“Kami beroperasi dalam keadaan tiada persaingan pada masa ini, tetapi perniagaan masih sukar untuk bertahan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan Kelantan pernah mencadangkan supaya kilangnya dijadikan destinasi pelancongan, tetapi beliau menolak cadangan itu selepas mengambil kira persekitaran kilang yang kotor.
Kilang Mancis Kelantan didirikan oleh peniaga India pada 1933 dan pernah bertukar tangan beberapa kali sebelum diambil alih oleh Chong San.
Menurut Chong San, Malaysia pernah mempunyai tiga kilang mancis pada satu ketika dahulu dengan dua lagi terletak di Sabah dan di Taiping, Perak
Katanya, Kelantan Match Factory kini mengeluarkan beberapa jenama mancis termasuk cap lada yang terkenal, cap helang, cap keris, cap 99 dan cap bintang, selain membekalkan mancis kepada hotel.
Ujarnya, mancis pada masa ini masih digunakan di kuil Hindu, tokong Siam serta oleh sesetengah penduduk kampung. – MalaysiaGazette