Penerbit Sumpahan Malam Raya, Denes Kumar

KUALA LUMPUR – Filem genre komedi seram ‘Sumpahan Malam Raya’ yang mula ditayangkan sempena Hari Raya Aidilfitr bakal ditayangkan di negara luar seperti Brunei dan Singapura.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, penerbitnya Denes Kumar berkata, ketika ini filem arahan Datuk Dr A Razak Mohaideen itu sudah mula ditayangkan seluruh negara di lebih 80 buah pawagam.

Beliau yang juga pengasas Veedu Production Sdn Bhd. menambah, tayangan di Brunei sudah dimulakan manakala di Singapura akan bermula 27 April ini.

“Sambutan amat menggalakkan dalam kalangan peminat filem tempatan tapi rasanya masih awal lagi untuk kita dedah apa-apa, lagipun ramai yang masih cuti raya. Kita tunggu hujung minggu ini.

“Pada masa sama, kita juga teruja kerana Sumpahan Malam Raya turut mendapat sokongan peminat filem di pasaran Brunei dan Singapura. 

“Kita harap sangat akan ada lebih ramai yang akan hadir menyokong dan menonton Sumpahan Malam Raya yang kita garap khas bukan sahaja berkonsepkan hari Raya Aidilfitri sebaliknya juga dengan menampilkan pelbagai artis hebat-hebat selain jalan cerita mengikut citarasa.

“Maklum balas daripada rata-rata peminat cukup bagus, kita doa akan capai kutipan box office,” ujarnya.

Poster Sumpahan Malam Raya akan mula ditayangkan pada 1 Syawal ini.

Untuk makluman, ini merupakan filem terbitan produksi Veedu Production milik pasangan suami isteri, Denes dan TS Dr Vimala Perumal dengan kerjasama MGE Production.

Dengan bermodalkan RM2juta, filem ini mula menjalani penggambaran sejak Ogos tahun lepas di sekitar Pulau Carey dan Puncak Alam juga telah menjalin kerjasama antarabangsa dengan proses adunan muzik dan bunyi serta foley yang dijalankan di Chennai India, studio yang dimiliki oleh komposer muzik terkenal dunia, AR Rahman.

Sumpahan Malam Raya yang juga merupakan satu-satunya filem Melayu tempatan yang telah mula ditayangkan sejak Jumaat lepas.

Pengarahnya, A Razak telah memenangi beberapa Anugerah termasuk Anugerah Box-Office di beberapa siri Festival Filem Malaysia yang lepas melalui beberapa buah filem arahannya seperti Hingga Hujung Nyawa, Anak Mami The Movie, Mami Jarum, Nana Tanjung, Cinta Kolestrol, Kuliah Cinta, Duyung dan banyak lagi.

Sumpahan Malam Raya juga akan membariskan pelakon terkenal seperti pelawak popular masa kini, Atu Zero & Danial Zaini, Vanidah Imran, Reen Rahim, Nora Danish, Datuk Yusry Abd Halim, Ropie, Saiful Apek, Yassin Yahya, Rita Rudaini, Soo Wincci, Bell Ngasri, Aidilia Hilda, Erin CTJ, Megat Terawis, Khairul Marksnann dan Fye Ramli.

Filem ini mengisahkan tentang Syawal, Tania, Adam dan Misha yang mengusahakan sebuah inap desa berhantu dengan pelbagai kejadian pelik yang berlaku menjelang Hari Raya dan mereka semua cuba merungkaikan misteri tersebut satu-persatu. -MalaysiaGazette