KUANTAN – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 15, Jalan Lipis-Benta, Lipis petang tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian membabitkan sebuah MPV jenis Perodua Alza dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 pada pukul 1.43 petang.
“Pemandu MPV bersama isteri dan tiga orang anak dari arah Benta menghala ke Lipis, dalam perjalanan ke Taman Kuala Krau, Temerloh.
“Siasatan awal menerusi rakaman papan pemuka kereta (dashcam) MPV tersebut mendapati mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah bertentangan telah hilang kawalan dan masuk ke laluan MPV, lalu bertembung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ekoran kejadian, mangsa dikenali sebagai Mustapa Mhd Zin, 65, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu MPV dan empat penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Azli, bedah siasat akan dijalankan sejurus keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette