DAP Islamofobia fobia agama mahathir DEB berkepentingan awam Kit Siang Kelantan
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan menjadi ‘mangsa politik’ Dasar Ekonomi Baharu (DEB) ekoran kekalahannya di kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, Dr Mahathir kalah di tangan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Untuk rekod, Mohd Suhaimi yang juga tokoh korporat merupakan bekas Pengarah Urusan Kumpulan Silver Ridge Holdings Bhd.

“Ini adalah situasi di mana Dr Mahathir telah menjadi mangsa politik DEB di mana dasar itu telah menjadikan sejumlah kecil orang Melayu jutawan manakala sebahagian besar yang lain kekal dalam kategori B40,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada PRU-15, Dr Mahathir yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi yang disandangnya malah hilang deposit apabila cuma meraih sebanyak 4,566 undi.

Mohd Suhaimi beroleh 25,463 undi sekali gus mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Armishah Siraj (11,945 undi); calon Pakatan Harapan, Zabidi Yahya (5417 undi) dan calon Bebas, Datuk Abd Kadir Sainudin (89 undi).

Kit Siang turut berkongsi maklumat bahawa Bursa Malaysia semalam menegur dan mengenakan denda sebanyak RM25,000 kepada Mohd Suhaimi atas ketidakpatuhan korporat.

Ketika menjadi Pengarah Urusan Kumpulan Silver Ridge dahulu, Mohd Suhaimi melanggar Peraturan Penyenaraian Pasaran Bursa Malaysia ACE apabila tidak mengumumkan dengan segera surat tawaran (LOA) kontrak bernilai RM20.6 juta yang diterima syarikatnya daripada Telekom Malaysia Bhd pada 4 Mei 2021. – MalaysiaGazette