KUALA LUMPUR – Malaysia melonjak 15 tangga dalam Indeks Prestasi Logistik (LPI) Bank Dunia 2023 kepada 26, negara ASEAN berprestasi kedua terbaik selepas Singapura.
Ini merupakan peningkatan ketara daripada kedudukan 41 pada 2018 dan 32 pada 2016.
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, kedudukan terbaik yang dicapai Malaysia ialah 25 dalam laporan LPI 2014 Bank Dunia.
Laporan LPI edisi ketujuh ‘Connecting to compete’ dikeluarkan selepas tiga tahun gangguan rantaian akibat pandemik Covid-19 dan merangkumi pandangan terkini mengenai prestasi logistik perdagangan di 139 negara.
Abdul Latif berkata, laporan LPI adalah alat penanda aras untuk membantu negara mengenal pasti tempat penambahbaikan dalam logistik perdagangan antarabangsa boleh dilakukan untuk meningkatkan daya saing.
Sementara itu, Champion of Logistics Productivity Nexus (LPN), Datuk Seri Michael Tio berkata, “jika Malaysia terus mengekori menanda aras Singapura, negara ini akan dapat meletakkan diri dalam 10 teratas ranking LPI tidak lama lagi.
“LPI mengukur kemudahan untuk mewujudkan sambungan rantaian bekalan yang boleh dipercayai dan tepat pada masanya serta faktor struktur yang memungkinkan, seperti kualiti perkhidmatan logistik, perdagangan dan infrastruktur berkaitan pengangkutan, serta kawalan sempadan,” katanya.
“Edisi LPI 2023 terbaharu ini memperkenalkan satu set baharu penunjuk prestasi utama (KPI), yang diperoleh daripada pendekatan Big Data, mengukur kelajuan perdagangan di seluruh dunia.
“Penunjuk ini berdasarkan kemajuan teknologi dalam menjejak pergerakan antarabangsa frekuensi tinggi sebenar perkapalan maritim , kontena, pengangkutan udara, dan bungkusan pos melalui lorong perdagangan dan pintu masuk,” tambahnya.
Tio berkata, industri logistik mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan untuk menjadi destinasi logistik pilihan di ASEAN, dan Malaysia mempunyai infrastruktur yang komprehensif untuk industri logistik berkembang maju sambil mempunyai sambungan yang baik melalui darat, laut dan udara.
“Ketidakpadanan institusi dan peraturan, kesesakan di sempadan, aktiviti rantaian nilai rendah, dan tenaga kerja yang tidak mencukupi dan tidak mahir masih perlu ditangani.
“LPN, didorong oleh industri dengan sokongan kerajaan, akan terus menangani isu-isu ini secara berstruktur,” tambahnya .
Dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas, MPC mempunyai mandat untuk menubuhkan LPN untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing industri di peringkat sektor dan perusahaan. Rangka Kerja Prestasi Kelestarian Logistik (LSPF) adalah antara projek perdana awal ke arah ini. – MalaysiaGazette