Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Muhamad Rafi berucap pada program Gerak Rahmah 2023 - Jom Masak Bubur Lambuk di Madrasah Al-Khairiah, Taman Salak Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Pemimpin Perikatan Nasional (PN) tidak wajar membangkitkan isu politik terhadap usaha kerajaan melayani rakyat khususnya penganjuran program Rumah Terbuka Madani.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, program tersebut adalah perkara biasa, namun PN dilihat lebih rela rakyat dibiarkan memakan hati daripada mendapat layanan kerajaan.

“Ada pemimpin yang membakar isu pembaziran, kesian kepada rakyat, kebiasaan mereka dijamu, kali ini, pemimpin Pas seperti biasa, merah mata, terasa terancam, kononnya ianya pembaziran.

“Sudah pastinya, rakyat di Kedah dan sekeliling akan merasai kemeriahan hari raya, diraikan dengan pelbagai program yang dirancang sebelum hari lebaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Jelasnya, tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor yang menyebut membazir itu tidak seharusnya berlaku.

“Apa salah buat di negeri lain dengan perbelanjaan yang jimat berbanding Putrajaya?

“Perbelanjaan buat di Putrajaya jauh lebih mahal berbanding di negeri-negeri.

“Jemputan mencecah puluhan ribu dan persiapan di Seri Perdana boleh mencecah sehingga jutaan ringgit, ini adalah kelaziman, dan tidak salah sekiranya wang itu dapat diagihkan kepada negeri-negeri untuk jamuan rakyat setempat, lebih manfaat, kalau di Putrajaya itu, tetamunya ramai rakyat luar negara yang bekerja di Malaysia,” katanya.

Mohd Rafii berkata, Muhammad Sanusi seharusnya berbangga dan berterima kasih kepada kerajaan pusat memeriahkan Aidilfitri di Kedah.

“Program raya untuk dinikmati rakyat Kedah, tetapi apa yang dibangkitkan Muhammad Sanusi bukan satu kejutan, kerana beliau memang suka kontraversi dan sanggup menghasut.

“Musim hari raya kali ini jauh beza dengan tahun sebelum ini, rakyat disekat dengan pelbagai sekatan kerana Covid-19, tetapi tahun ini semua program boleh dilaksanakan.

“Jadi, kita sebagai rakyat sepatutnya tidak termakan dengan hasutan politik yang merugikan ini,” ujarnya.

Jelasnya, hari raya ini perlu disambut dengan penuh kebebasan dan keceriaan dan melupakan kisah silam raya dengan pelbagai sekatan.

“Jangan cemari bulan Syawal ini dengan politik sempit,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi menganggap rumah terbuka itu sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan.

Bliau berkata, jamuan tersebut hanya perlu diadakan di satu lokasi sahaja iaitu di Seri Perdana atau di sekitar Putrajaya seperti kelaziman sebelum ini.

Katanya, program terbabit melibatkan kos tinggi sedangkan kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan supaya langkah penjimatan dibuat oleh semua pihak.

Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri akan diadakan di beberapa negeri iaitu Kedah pada 29 April ini, Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan kemuncak sambutan rumah terbuka itu akan berlangsung di Selangor pada 14 Mei. – MalaysiaGazette