Warga emas yang terperangkap di dalam rumah telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba, - Foto Ihsan Bomba

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas berusia 90 tahun berdepan detik cemas selepas rumahnya di Taman Hock Ann, di sini, dihempap pokok semalam.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh pada jam 5.42 petang.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Shahruddin Mat Nor berkata, seramai lapan anggota bersama jentera dari BBP Seputeh digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan penyelamat di lokasi kejadian, terdapat pokok tumbang menghempap sebuah rumah.

“Bagaimanapun, mangsa merupakan lelaki warga emas yang terperangkap di dalam rumah telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, mangsa mengalami kecederaan ringan di kepala dan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya. – MalaysiaGazette