Antara penduduk yang membuat bantahan sebelum menyerahkan memorandum kepada wakil Menteri Besar Selangor berikutan 12 keluarga peneroka Kampung Koskan Tambahan, Serendah menerima notis pengusiran pada 2 Mei ini ketika di Pintu Utama SUK Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2023.

SHAH ALAM – Susulan notis pengusiran paksa menjelang 2 Mei ini, 12 keluarga peneroka Kampung Koskan Tambahan, Serendah meminta Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari agar campur tangan bagi menghalang tindakan itu.

Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Kampung Koskan Tambahan, Maszahar Hashim berkata, pihaknya menerima notis pengusiran itu pada saat akhir dan tanah yang diduduki lebih 40 tahun itu akan hilang tanpa penempatan semula.

“Tiba-tiba sampai surat mahkamah arah buat pengosongan, jadi kami cuba mohon menetap di kampung itu.

“Bailif pun datang dengan surat menyatakan pengosongan itu akan dibuat pada 2 Mei ini.

Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Kampung Koskan Tambahan, Maszahar Hashim bercakap kepada media mengenai 12 keluarga peneroka Kampung Koskan Tambahan, Serendah menerima notis pengusiran pada 2 Mei ini selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Menteri Besar Selangor di Pintu Utama SUK Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2023.

“Kena kosong, kalau tidak mereka akan kosongkan, kami tak tahu sama ada mahu kosongkan rumah atau tanah.

“Kami minta Menteri Besar supaya campur tangan, jangan biarkan kami dikenakan tindakan undang-undang yang dibuat pemaju,” katanya kepada pemberita di luar pagar Ibu Pejabat Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Pada 18 April lalu, penduduk Kampung Koskan Tambahan, Serendah menerima notis pengosongan daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam meminta 12 keluarga terbabit mengosongkan penempatan itu sebelum 9 pagi pada 2 Mei ini.

Permohonan notis pengosongan terhadap 12 penama yang masih mendiami Kampung Koskan Tambahan dikemukakan oleh sebuah pemaju dikenali sebagai Panca Resmi Sdn Bhd kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Mac lalu.

Bagaimanapun pada 18 April lalu, Jawatankuasa Bertindak Kampung Koskan Tambahan mengemukakan surat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam memohon penangguhan pelaksanaan notis pengosongan penempatan di Lot 4465, Mukim Serendah.

Dalam pada itu, Maszahar mempersoalkan notis pengosongan itu sedangkan pihaknya sudah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan untuk kekal di penempatan terbabit.

“Tetapi sehingga kini masih belum mendapat tarikh daripada mahkamah untuk mendengar kedua-dua permohonan kekal dan rayuan,” katanya.

Antara penduduk yang membuat bantahan sebelum menyerahkan memorandum kepada wakil Menteri Besar Selangor berikutan 12 keluarga peneroka Kampung Koskan Tambahan, Serendah menerima notis pengusiran pada 2 Mei ini ketika di Pintu Utama SUK Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2023.

Oleh kerana pemaju masih enggan mengadakan rundingan dengan penduduk, Maszahar percaya penyelesaian politik boleh menangguhkan notis pengosongan itu.

“Memandangkan Kerajaan Negeri Selangor sejak Pakatan Rakyat (PR) memerintah mempunyai polisi tidak akan membuat pengusiran paksa sebelum menyelesaikan isu perumahan penduduk.

“Penduduk kampung kini tiada hala tuju dan ingin berbincang dengan Menteri Besar serta pihak pemaju untuk mendapat suatu penyelesaian yang dapat dipersetujui semua pihak terlibat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast