Malaysia Sudan Zambry Belanda
Zambry Abd Kadir

PUTRAJAYA – Seramai 30 rakyat Malaysia dan 22 warganegara lain yang dibawa keluar dari Sudan melalui usaha kerajaan Malaysia selamat tiba di Pelabuhan Tentera Laut Raja Faisal di Jeddah pada pukul 8.54 malam waktu tempatan, semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebelum itu, mereka telah menempuh pelayaran selama kira-kira sembilan jam dari Pelabuhan Sudan dengan menaiki Kapal Diraja Abha milik Tentera Laut Arab Saudi.

Sehubungan itu, beliau menyatakan penghargaan bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat kepada kerajaan Arab Saudi, kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta kepimpinan Sudan yang membantu usaha tersebut.

“Bagi pihak kerajaan dan Wisma Putra ingin menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang amat prihatin dan berusaha dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Sudan sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Seri Paduka sentiasa mengikuti setiap waktu untuk memastikan proses yang dilakukan berjalan dengan baik dan baginda turut membuat beberapa panggilan untuk memastikan proses ini dapat berjalan dengan sebaik mungkin,” katanya dalam sidang media di Wisma Putra di sini, hari ini.

Kesemua rakyat Malaysia dan warganegara lain dibawa keluar dari Sudan ekoran konflik bersenjata yang tercetus sejak dua minggu lalu di negara itu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

Warganegara lain yang turut dibawa keluar bersama rakyat Malaysia terdiri daripada 14 warga Singapura, enam warga Kemboja serta dua warga Amerika Syarikat (AS).

Setakat ini, lebih 400 orang dilaporkan terkorban manakala lebih 3,700 mangsa cedera dalam konflik tersebut.

Zambry turut memaklumkan tentang penglibatan langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersama-sama mengikuti dan berusaha menghubungi pihak-pihak tertentu di Sudan dan lain-lain tempat dalam usaha menyelamatkan rakyat Malaysia yang ketika itu terperangkap dalam konflik.

Beliau menambah, Anwar juga telah mengarahkan beberapa langkah yang perlu diambil oleh Wisma Putra bagi memastikan perjalanan rakyat Malaysia sejauh 1,233 kilometer berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah atau halangan.

Zambry memberitahu, hasil hubungan yang rapat antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi, semua rakyat Malaysia yang tiba di Jeddah menerima layanan yang baik malah pengangkutan dan penginapan mereka di sebuah hotel lima bintang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata, kesemua 30 rakyat Malaysia berkenaan dijangka tiba di tanah air melalui pesawat Saudi Airlines esok dan ketibaan mereka mungkin disambut oleh Perdana Menteri. – MalaysiaGazette