KUALA LUMPUR -Seorang lelaki warga asing dipercayai pekerja sebuah bengkel kereta maut selepas bengkel di Jalan Jemuju, Seksyen 16, Shah Alam, Selangor musnah dalam kebakaran pada pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 5.12 pagi mengerahkan sepasukan anggota bomba dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati kebakaran membabitkan sebuah premis bengkel kereta bangunan kedai dua tingkat yang terbakar 60 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, kebakaran berjaya dikawal jam pada jam 5.42 pagi dan dipadam sepenuhnya 15 minit kemudian.
Menurut Morni, pemeriksaan dalam bangunan menemukan seorang lelaki warga Pakistan berusia 30an dalam keadaan tidak sedar diri dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, polis menerima panggilan mengenai kebakaran itu daripada orang awam jam 6 pagi.
“Kebakaran melibatkan bangunan bengkel dua tingkat dan seorang mangsa warga Pakistan dipercayai pekerja bengkel itu gagal menyelamatkan diri.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian dan mengalami kecederaan melecur pada kedua-dua belah kaki.
“Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat,” ujarnya.
Ramsay berkata, siasatan mendapati bangunan itu 100 peratus musnah akibat kebakaran. – MalaysiaGazette