Ops Sudan
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menunjukkan gambar rakyat malaysia yang dibawa keluar pada sidang media berkenaan perkembangan terkini misi evakuasi rakyat Malaysia di Sudan di Wisma Putra, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 27 APRIL 2023.

PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan misi Ops Sudan membawa keluar 30 rakyat Malaysia serta 22 warganegara lain dari kancah konflik di Sudan sebagai sangat sukar dan berisiko tinggi.

Menurut beliau, pelbagai cabaran yang dihadapi mereka sepanjang perjalanan selama kira-kira 30 jam dan sejauh 1,233 kilometer dari Khartoum ke Pelabuhan Sudan.

Zambry memberitahu, konvoi yang membawa mereka terpaksa melalui lokasi pertempuran dan ada yang dalam kawasan perintah berkurung dikuatkuasakan.

“Malah, kereta duta besar kita ditahan dan dirampas manakala sebahagian barangan diambil,” katanya dalam sidang media di Wisma Putra, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau menambah, tayar kenderaan yang membawa mereka pecah sehingga menyebabkan mereka terpaksa menunggu selama berjam-jam di tepi jalan sehingga bantuan dari lokasi yang jauh tiba.

Zambry berkata, Kompleks Petronas yang turut menempatkan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum turut menjadi sasaran tembakan berikutan lokasinya yang berdekatan dengan Kementerian Pertahanan negara berkenaan.

“Keadaan sangat berbahaya. Ada satu keadaan di mana saya sempat berhubung dengan duta pada 1 Syawal berlaku pertempuran dan peluru sesat masuk ke dalam Kompleks Petronas,” jelasnya.

Beliau juga mengesahkan, Kompleks Petronas kini diambil alih oleh tentera Sudan dan dijadikan sebagai pos pemerhatian.

Menurut Zambry, misi Ops Sudan hanya mempunyai masa tiga jam sahaja ketika gencatan senjata bagi mengeluarkan semua rakyat Malaysia dari lokasi-lokasi pertempuran.

Tambah beliau, operasi Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum digantung dan segala urusan pentadbiran dikendalikan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.

Zambry berkata, setakat ini, anggaran nilai kerugian yang dialami kerajaan dan syarikat Malaysia ekoran konflik di Sudan masih belum diketahui. – MalaysiaGazette