Anggota TLDM melakukan perbarisan pada Perbarisan Sempena Sambutan Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia Ke-89 Peringkat Markas Tentera Laut di Kapal Diraja (KD) Sri Gombak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 27 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Lanskap pertahanan negara yang berubah dan semakin mencabar menuntut agar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diperlengkapkan dengan aset-aset terkini.

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, aset yang usang, keupayaan tempur semakin terhakis dan menyelenggara aset sedia ada merupakan cabaran yang dihadapi pasukan keselamatan itu.

Pada masa sama, katanya, tuntutan operasi yang tinggi dan penglibatan dalam eksesais berskala besar turut memberi kesan terhadap rancangan atur gerak aset.

“Melihat kepada cabaran dan kebimbangan ini, TLDM dan Kementerian Pertahanan sedang giat berusaha untuk memperkasakan keupayaan dan meningkatkan infrastruktur dengan memastikan projek Littoral Combat Ship (LCS) diteruskan dengan segera mengikut perancangan yang telah disusun semula sepertimana yang telah diumumkan Menteri Pertahanan.

“Kedua TLDM juga memberi keutamaan kepada rancangan perolehan aset bagi menggantikan kapal TLDM yang telah usang dengan fokus utama pada masa ini adalah perolehan Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 seperti yang telah diluluskan dalam Pembentangan Bajet Tahun 2023,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam perutusan Ulang TahunTLDM ke-89 yang dibacakan Asisten Ketua Staf Materiel Laksamana Muda Satria Sarawak Jais, hari ini.

Menurut Abdul Rahman, mengikut perancangan, LCS pertama dijangka beroperasi pada 2026, manakala LMS Batch 2 pada 2027.

Tambah beliau, kelulusan untuk menggerakkan projek-projek itu telah menyuntik semangat dan meningkatkan moral warga TLDM.

Assisten Ketua Staf Materiel, Laksamana Muda, Satria Sarawak Jais berucap pada Perbarisan Sempena Sambutan Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia Ke-89 Peringkat Markas Tentera Laut di Kapal Diraja (KD) Sri Gombak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 27 APRIL 2023.

Sementara itu, Abdul Rahman memberitahu, TLDM telah melaksanakan program baik pulih kapal sementara menunggu penggantian aset baharu melalui inisiatif Obsolescence dan Repowering.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan dilihat sebagai solusi sementara yang paling sesuai dan telah memberi impak positif.

Katanya, program Obsolescence KD Perkasa yang selesai pada 22 Mac 2023 lalu mampu memanjangkan jangka hayat kapal itu.

“Inisiatif smart refit pula berjaya memendekkan tempoh masa rutin pasang pulih kapal tetapi pendekatan ini tidak boleh berterusan dan mempunyai jangka hayat tertentu maka sebab itu penggantian aset TLDM tetap menjadi keutamaan dan perlu diteruskan.

“Bagi menyokong industri pertahanan tempatan, TLDM turut mengambil pendekatan melengkapi semua kapal jenis Fast Attack Craft dengan Indigenous Combat Management System dalam usaha mengembalikan taring kepada aset TLDM,” ujarnya.

Menurut Abdul Rahman, krisis luar jangkaan seperti perang antara Ukraine dan Rusia, ketegangan China dan Taiwan serta pertelingkahan secara berterusan kuasa besar di Laut China Selatan menuntut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempersiapkan diri sewajarnya.

Terdahulu, pacara istiadat perbarisan yang melibat 191 orang terdiri daripada 40 pegawai dan 151 anggota lain-lain pangkat diketuai Komander Mohd Faizal Zulkifli dan Pegawai Waran 1 PNK Mohd Qhohar Mahamat selaku Pegawai Waran Perbarisan.

Perbarisan berkonsepkan statik itu menekankan aspek keselamatan dan mempamerkan kesiagaan warga TLDM sesuai tema sambutan “TLDM Siaga Kedaulatan Terpelihara”. – MalaysiaGazette