Mohamad Sabu.- Foto MUHD NA'IM, 17 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Peranan dan kewujudan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dipertikaikan selepas gagal menyelesaikan isu dan masalah yang dialami negara anggota.

Terbaharu perang saudara yang sedang melanda Sudan memperlihatkan OIC yang turut dianggotai Malaysia seolah-olah berdiam diri tanpa melakukan sebarang tindakan.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perang saudara di Sudan merupakan ujian berat kepada OIC.

“Perang yang bermula di penghujung bulan Ramadan ketika umat Islam sibuk beribadat di malam malam lailatul qadar dan berpanjangan di hari raya Aidilfitri.

“OIC sekali lagi gagal bertindak mencegah perang di Sudan daripada berpanjangan. Jika begitu, apakah peranan sebenar OIC? Adakah ia masih perlu diwujudkan?

“Ataupun OIC hanya menjadi penonton kepada konflik yang berlaku sesama negara anggotanya tanpa perlu berbuat apa apa. Ayuh OIC!” kata Mohamad kesal.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, perang di Sudan bukan satu-satunya kegagalan yang dicatatkan oleh OIC.

Sebelum ini dan sehingga kini terdapat krisis yang berlaku sesama negara anggota hingga menyebabkan perang berlangsung.

Tambah Mohamad, ada krisis yang terpaksa diselesaikan oleh negara bukan anggota seperti China.

“Pertubuhan Kerjasama Negara Negara Islam (OIC) gagal menyelesaikan Perang Iran-Iraq (1980-1988). OIC gagal menyelesaikan perang yang berlaku di Syria dan Libya (2011 hingga kini).

“OIC gagal menyelesaikan Perang di Yaman yang diserang sejak 2015 oleh pakatan negara-negara Arab yang diketuai negara jirannya Saudi.

“China menjadi orang telah menyelesaikan pertelingkahan berpanjangan di antara Saudi dengan Iran, bukan OIC,” kata Mohamad dalam kenyataan.

Pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) setakat ini menyebabkan sekurang-kurangnya 424 orang terbunuh dan kira-kira 3,730 cedera.

Pertempuran yang tercetus di ibu negara Sudan, Khartoum dan beberapa bandar berdekatan adalah impak perebutan kuasa secara kejam dalam kepemimpinan tentera di negara itu.

Penduduk Sudan kebanyakannya beragama Islam.

Sejak rampasan kuasa pada 2021, Sudan dikendalikan oleh sebuah majlis jeneral diketuai dua pemimpin tentera iaitu Abdel Fattah al-Burhan dan timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo atau lebih dikenali sebagai Hemedti yang mengetuai RSF.

Mereka saling tidak bersetuju mengenai hala tuju negara dan langkah yang dicadangkan ke arah pemerintahan awam.

Perkara utama yang menjadi pertikaian adalah rancangan memasukkan 100,000 tentera RSF ke dalam pasukan Angkatan Tentera Sudan dan siapa yang kemudiannya akan mengetuai pasukan baharu.

Serangan tembakan bermula pada 15 April berikutan ketegangan berlanjutan selama beberapa hari ketika anggota RSF ditempatkan semula di seluruh negara dengan tindakan itu dilihat tentera sebagai ancaman.-MalaysiaGazette