Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama anaknya, Nooryana Najwa Najib ketika hadir ke Mahkamah Persekutuan pada prosiding kes rayuan akhirnya berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Status permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum diketahui.

Anak Najib, Noryana Najwa berkata, keluarganya masih menunggu maklumat sama ada Lembaga Pengampunan yang bersidang hari ini membincangkan permohonan tersebut.

“Ramai yang tanya sama ada kes Datuk Seri Najib dibincangkan di mesyuarat Lembaga Pengampunan hari ini.

“Untuk makluman semua, setakat ini kami sekeluarga belum terima sebarang maklumat atau berita berkenaan rayuan Datuk Seri Najib.

“Kami juga seperti saudara-saudari sedang menunggu sebarang kemaskini atau berita baik,” katanya melalui Insta Story petang ini.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Lembah Pantai itu bagaimanapun memohon doa semua agar Najib dapat dibebaskan dengan segera dan dapat pulang menemui keluarga.

“Walau apapun, kami akan terus berusaha menegakkan keadlian buat Datuk Seri Najib.

“Dan marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT agar Bossku (Najib) boleh pulang ke pangkuan keluarga secepat mungkin,” doa Noryana Najwa.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan, Lembaga Pengampunan tidak membincangkan permohonan Najib untuk diampunkan.

Sumber menyangkal laporan mendakwa lembaga yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong itu akan membincangkan permohonan untuk Najib itu hari ini.

Pada 7 April lalu, Majlis Kerja Tertinggi UMNO memohon pertimbangan agar Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi pengampunan penuh kepada Najib.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata pertimbangan tersebut selaras dengan kuasa Seri Paduka Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Rayuan tersebut dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara berhubung dengan kes SRC.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast