KUALA LUMPUR – Sejak Pilihan Raya Umum 2008 yang mencatatkan sejarah hitam kepada MIC – banyak isu berkaitan dengan komuniti India seperti dibiarkan begitu sahaja.
Sebelum itu, walaupun MIC sentiasa menjadi kritikan terutamanya dalam kalangan pimpinan pembangkang India namun selepas mereka menang tidak banyak perubahan dilakukan kepada komuniti berkenaan.
Malah perjuangan untuk komuniti ketiga terbesar itu juga seolah-olah terhenti walaupun cakap-cakapnya begitu besar sekali, dakwa Naib Presiden MIC, Datuk T. Mohan.
Mohan yang juga Ketua Cawangan MIC Puchong Camp Village menegaskan, banyak isu yang masih lagi menghantui kehidupan masyarakat India di negara ini masih lagi gagal dilaksanakan walaupun pembangkang sudah mula ambil tampuk kuasa sejak 2008.
“Dulu hendak undi boleh cakap macam-macam. Tapi kini bagaimana? MIC sentiasa dikritik tidak kira pembangkang lebih-lebih dalam kalangan pemimpin India sendiri. Segala macam tuduhan dilemparkan saban kali tapi hari ini kita boleh kira berapa banyak perubahan telah dibawa.
“Kita ada macam-macam isu terutamanya selepas 2008, isu kerakyatan kononnya ada ratusan ribu tiada pengenalan, sekolah-sekolah Tamil yang terbengkalai dan daif, kita ada isu pengangguran, pekerjaan, perumahan. Sebut sahaja.
“Sebelum ini siapa perjuang semua ini kalau bukan MIC? Bukan setahun dua tapi berpuluh-puluh tahun lebih 70 tahun.
“Kerana itu MIC sentiasa relevan walaupun kita ini dikritik sebagai parti perkauman tetapi jika MIC tidak ada adakah apa yang kamu sedang lihat hari ini dapat direalisasikan? Kita bukan sahaja relevan sebaliknya kita juga yang sebenar-benarnya berjuang untuk kaum India di negara ini, suka atau tidak itulah hakikatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ahli-ahli MIC pada Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan Puchong Camp Village malam semalam.
Mohan turut menyeru kepada ahli-ahli parti itu terus menyokong dan aktif dalam berterusan menyantuni perjuangan kaum itu yang memerlukan MIC untuk terus bersuara dalam pelbagai isu.
“Kita perlukan nafas baharu, dalam kalangan golongan muda. MIC pernah relevan dan menjadi ikutan golongan muda satu ketika dahulu namun dengan adanya agenda politik segelintir yang sentiasa menyebar kebencian tanpa fakta dan asas, akhirnya parti dijauhi.
“Tapi kini ramai yang boleh nampak siapa yang sebenarnya telah berjuang, ikhlas dalam memartabatkan dan memperkasakan kaum ini. Saya harap kita akan lebih aktif, lebih ramai muka-muka baharu, golongan profesional. – MalaysiaGazette
MIC tidak relevan lagi. Boleh bungkus and masuk semadi.