KUALA LUMPUR – “Menjentik sedikit, reaksinya menakutkan. Saya dimaki berjemaah dengan bahasa yang kotor dan ini tidak menggambarkan nilai dan akhlak Islam.”
Itu kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff selepas artikelnya menyentuh mengenai Pas dan pemimpin parti itu dua hari lalu.
Menurut Mohammad Agus, cemuhan dan makian yang diterimanya mengambarkan tahap ketaksuban pemimpin dan penyokong Pas.
Katanya, ketaksuban yang ditonjolkan adalah bahaya dan perlu ditolak malah pemimpin parti itu juga tidak boleh diangkat menerajui negara ini.
“Anak muda harus fahami ini. Anak muda harus jauhi parti sebegini.
“Atas nama Islam, mereka kata mereka memperjuangkan umat sejagat, sedangkan realitinya setiap hari mereka meratib DAP, meratib kebangsaan mutlak. Mereka tidak faham realiti hidup dalam negara majmuk.
“Saya perhatikan komen kumpulan ini penuh dengan emosi dan kebencian. Jika dibahas kita dikatakan anti Islam, pendokong liberalisme, dan LGBT. Inilah ratib mereka. Jika berbeza pendapat, mereka menjadi penghukum yang kental,” kata Mohammad Agus.
Menurut Mohammad Agus, beliau sedih apabila Pas menjadikan kebencian sebagai senjata untuk menakutkan mereka yang bertentangan dengannya, merasuah penyokong dengan syurga dan penentang dengan neraka.
Serentak itu Ketua Pengarah J-KOM itu mengajak golongan muda untuk menolak Pas.
Katanya, kumpulan muda diyakini mampu menilai dengan bijak, rasional dan adil.
“Dan yang paling penting, dapat memainkan peranan sebagai agen perubahan. Sejarah membuktikan, kuasa anak muda adalah penyumbang utama kepada jatuh bangunnya sesebuah tamadun.
“Anak muda, atas asas ini, marilah bersama saya. Kita sama-sama suburkan keharmonian dan hayati Madani.
“Madani itu hidup berperadaban yang tidak memperlekehkan orang, hidup yang penuh kasih sayang, saling menghormati dan menolak politik ketaksuban,” katanya.
Dua hari lalu, Mohammad Agus mendakwa politik Pas ketika ini berubah secara keseluruhan apabila memperlekehkan kebenaran yang dibangkitkan oleh pihak lain.
Menurut beliau, jika ada sebarang perbezaan pendapat yang bertentangan dengan pandangan parti itu, pihak berkenaan akan ‘diserang’ berjemaah secara beremosi tanpa adab dan akhlak serta diberi pelbagai gelaran jelek.
Mohammad Agus sebelum itu menegur Kelantan yang dipimpin Pas sebagai kotor, tidak mempunyai air bersih dan jalan berlubang.-MalaysiaGazette
sangat setuju dengan kenyataan ini.
memang kebencian itu disemai dalam kebanyakan ahli politik tersebut.
selalu juga memperhatikan komen kasar, jelik dan lucah ditulis dalam ruangan komen Malaysia Gazzette ini.
yang menghairankan hanya seorang dua sahaja yang berkelakuan sedemikian.
adab dan sopan sebagai seorang muslim sangat wajar dijaga.