KULIM – Seorang wanita maut selepas dilanggar kereta dipandu suaminya di hadapan rumah mereka di Taman Selasih, di sini, semalam.

Kejadian jam 7 malam itu mengakibatkan mangsa berusia 59 tahun maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kejadian berlaku semasa mangsa keluar dari kereta jenis Proton Saga untuk mengambil barang yang tertinggal di dalam rumah.

“Hasil siasatan mendapati suami mangsa berusia 60 tahun itu sedang mengundur kereta lalu tertekan pedal minyak sebelum terlanggar isterinya.

“Mangsa ketika itu berada di bahagian kiri kereta selain terlanggar sebuah lagi kereta jenis Myvi yang berada di parkir hadapan rumah mereka.

“Pemandu tidak mengalami kecederaan manakala mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Redzuan, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  – MalaysiaGazette