Ahmad Zahid berbual dengan tetamu

PUTRAJAYA – Lembaga Pengampunan akan mencari masa yang sesuai bagi memasukkan agenda pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Lembaga Pengampunan tidak memasukkan agenda berkenaan ketika bermesyuarat Jumaat lalu kerana berpendapat belum sesuai.

“Ianya telah berlalu pada 28 (hb. April) lalu, sebagaimana kita ketahui agenda pengampunan itu tidak dimasukkan.

“Kerana Lembaga Pengampunan memikirkan bahawa akan ada waktu yang paling sesuai untuk Lembaga Pengampunan memasukan agenda itu.

“Kita tunggulah sebarang kenyataan dan perkembangan daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri yang menjadi sekretariat kepada Lembaga Pengampuan ini,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di kediaman rasmi, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid diminta mengulas perkembangan terkini permohonan UMNO mendapatkan pengampunan diraja terhadap Najib.

“Saya fikir, pendirian UMNO melalui kenyataan Setiausaha Agung selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi adalah pendirian rasmi parti kita untuk memohon keampunan kepada mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden UMNO.

“Itu adalah tanggungjawab kami sebagai sebuah parti yang pernah beliau ketuai.

“Ini adalah pendirian kita untuk dihormati pihak lain terutama rakan-rakan dalam komponen kerajaan perpaduan,” kata beliau.

Dua hari lalu media melaporkan Lembaga Pengampunan tidak membincangkan mengenai petisyen rayuan pengampunan yang difailkan oleh Datuk Seri Najib Razak, untuk diampun dan dibebaskan daripada penjara.

Ketika persidangan itu, petisyen pengampunan terhadap Najib tidak dibentang oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia lembaga terbabit.

MKT UMNO yang bermesyuarat pada 7 April lalu memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia sebagai mana kuasa diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu MKT sebulat suara bersetuju memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta memorandum ditandatangani seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan sayap Pergerakan Pemuda serta Puteri UMNO. – MalaysiaGazette

 

 

1 Komen

  1. Zahid Hamidi “FIKIR” kenyataan S/U Agong adalah pendirian RASMI PARTI. Laaaaa president pun tak pasti!!!
    kata kerajaan ANWAR benda tak pasti jangan kongsi.
    Najib Razak keluarga dia dah mohon pengampunan so yang seluruh jagat Welanon Welanon yang *terlajak risau* tu dah kenapa? Badan president Welanon dah ada bau-bau ke? Bauan tu dibawa angin dari Kajang atau Sungai Buloh? Sabar Sabar Allah tentukan waktunya.

Comments are closed.