GEORGE TOWN – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang sudah mencapai kesepakatan mengenai agihan kerusi dalam kalangan parti-parti komponennya di negeri itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat PH petang semalam, namun beliau tidak dapat memperincikan agihan kerusi itu kerana perbincangan mengenainya akan dibawa ke mesyuarat bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas ini.
“…memandangkan (PRN) kali ini melibatkan gabungan dari parti luar PH, maka apa yang telah kita (PH Pulau Pinang) putuskan tertakluk kepada rundingan yang seterusnya… secara baiknya PH ada satu kedudukan (ketetapan kerusi) untuk kita bawa kepada rundingan seterusnya bersama UMNO dan BN,” katanya.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran sambutan Hari Wesak peringkat Pulau Pinang di sini hari ini, dan ia turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong.
Beliau berkata, dalam mesyuarat berkenaan, PH Pulau Pinang juga memutuskan bahawa kerusi yang dimenangi PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas akan kekal ditandingi parti berkenaan.
“Kita masih tertakluk kepada prinsip yang sudah pun dipersetujui di peringkat kebangsaan, sama ada PH atau BN, kita sudah pun setuju bahawa penyandang akan bertanding (mempertahankan) kerusi mereka (menang) pada PRN ini, setakat ini tak ada penyandang yang mahu lepaskan kerusi,” katanya.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada PRU14, PH memenangi 37 kerusi, termasuk dua kerusi DUN daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersama PH manakala masing-masing dua dan satu kerusi dimenangi BN dan PAS.
Pada PRU-15 lepas Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN, namun media sebelum ini melaporkan pemimpin enam negeri itu mencapai kata sepakat bahawa masa paling sesuai pembubaran DUN masing-masing adalah dalam dua minggu terakhir Jun. – Bernama