Dr Boi Saidi Abd Razak

KUALA LUMPUR – Tawaran menarik Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membantu doktor kontrak membuka klinik sendiri boleh menjadi perangkap muflis kepada doktor baharu.

Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr. Boisaidi Abdul Razak berkata, membuka klinik sendiri juga bukan perkara mudah selain sudah mempunyai kira-kira 8,000 klinik swasta berdaftar di negara ini.

Katanya, tawaran daripada Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki itu amat menarik dalam membantu doktor kontrak mendapat pekerjaan termasuk menyediakan pinjaman modal serta latihan.

“Bagaimanapun, seperti yang saya katakan, ia boleh menjadi perangkap muflis kepada doktor baharu dan membuka klinik sendiri juga berdepan risiko mendapatkan pesakit.

“Padangan saya, lebih baik ambil alih klinik sedia ada yang sudah beroperasi dan sudah ada pelanggan atau bekerja dengan mana-mana klinik dahulu untuk mencari pengalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Dr. Asyraf dilaporkan berkata, MARA sedia membantu doktor kontrak tidak ditawarkan jawatan tetap dengan menyediakan pinjaman modal dan latihan untuk membuka klinik sendiri.

Katanya, MARA membantu ramai doktor dan ahli farmasi menjadi usahawan dengan membuka cawangan bawah jenama U.n.i Klinik, U.n.i Dental dan U.n.i Farmasi.

Mengulas lanjut, Dr. Boisaidi menjelaskan, membuka klinik sendiri pada dasarnya berbaloi untuk direbut, tetapi mereka akan berdepan risiko amat tinggi dengan beban hutang yang menanti.

Ujar beliau, membuka klinik baharu selalunya memerlukan masa untuk mendapatkan pesakit, selain mendapat persaingan dengan klinik berdekatan.

“Pemilihan lokasi klinik yang tidak betul juga boleh menyebabkan tiada pelanggan atau pesakit walaupun tawaran MARA ini mendapat sambutan baik doktor kontrak yang tiada pilihan lain untuk masa depan mereka,” katanya.

Mengikut statistic Persatuan Perubatan Malaysia, dari Disember 2020 sebanyak 300 klinik swasta telah ditutup disebabkan menanggung kerugian atas beberapa faktor seperti pengurangan kira-kira 70 peratus pengunjungan pesakit.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan, Kementerian Kesihatan (KKM) berkolaborasi dengan persatuan NGO stakeholder untuk berbincang mengenai penerapan doktor baharu ke klinik sedia ada.

“PERDIM mempunyai 1,200 keahlian dan kami telah memiliki klinik sendiri. Oleh itu, adalah lebih mudah menyerap doktor muda ini dalam klinik sedia ada.

“Kita juga bersedia bekerjasama dengan Persatuan Perubatan Malaysia dan MARA untuk membantu golongan doktor muda ini.

“Selain itu, MARA boleh menyalurkan pinjaman tanpa faedah kepada pemilik klinik sedia ada untuk membesarkan klinik mereka dan mampu menyerap doktor baharu, di samping menawarkan bebas cukai untuk klinik yang menyerapkan doktor ini untuk tempoh tertentu,” ujar beliau. – MalaysiaGazette