Beregu lelaki negara Ong Yew Sin (kiri) dan Teo Ee Yi

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya layak ke final Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) setelah menewaskan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, malam tadi.

Yew Sin-Ee Yi, yang menghuni ranking kelapan dunia, menampilkan aksi cemerlang apabila menundukkan pilihan keempat kejohanan itu 21-16 dan 26-24, dalam perhitungan yang berlangsung selama 50 minit di Dewan Tertutup Sheikh Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr.

Pasangan regu negara itu yang pada mulanya menunjukkan aksi cemerlang pada set pertama, kemudian diberi tentangan hebat pada set kedua dengan saling berkejaran mata sehingga satu ketika ketinggalan 14-18.

Bagaimanapun, pasangan muda negara itu kembali bangkit dan walaupun Ee Yi mengalami sedikit kecederaan di lutut kiri setelah terjatuh ketika mata terikat 18-18, pasangan Yew Sin-Ee Yi terus menunjukkan semangat juang yang tinggi dengan mengheret perlawanan ke mata tambahan sebelum menjinakkan pasangan dari negara Matahari Terbit itu.

Kemenangan itu merupakan kali kedua buat mereka daripada lapan pertemuan bersama pasangan Jepun berkenaan dan menjadi satu-satunya wakil Malaysia bagi aksi final BAC musim ini.

Mereka dijangka akan bertemu pemenang separuh akhir antara gandingan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Sheety dari India atau Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan pada final esok.

Sementara itu, perjalanan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai terhenti pada pusingan separuh akhir selepas tewas kepada juara bertahan Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China.

Soon Huat-Shevon yang menghuni kedudukan lapan dunia terpaksa akur apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan China itu menerusi perhitungan straight set 11-21 dan 13-21, sekali gus menyaksikan kekalahan kali ke-10 buat Soon Huat-Shevon kepada pemenang perak Olimpik 2020 itu.

Pasangan pilihan pertama kejohanan itu akan bertemu sama rakan senegara Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam perebutan gelaran kategori campuran BAC pada musim ini.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast