SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tampil menghargai segala komitmen dan pengorbanan warga pekerja di seluruh negeri ini sempena 1 Mei hari ini.
Kata Amirudin dalam kenyataan, Hari Pekerja sememangnya adalah detik dan waktu untuk meraikan usaha, ketekunan, dan kebertanggungjawaban warga pekerja Selangor yang telah membina dan memajukan negeri ini.
Beliau berkata, ikhtiar ini memainkan peranan penting untuk memposisikan negeri Selangor sebagai penyumbang terbesar KDNK negara, iaitu sebanyak 24.8% pada tahun 2021.
“Komitmen seluruh warga pekerja berjumlah hampir 3.6 juta mampu menjadi pemangkin ke arah mencapai hasrat Selangor menyumbang 30% kepada KDNK negara, sambil memastikan negara kita terus berkembang, selaras dengan tema Hari Pekerja tahun ini iaitu Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani.
“Saya menghargai komitmen berterusan pekerja daripada pelbagai sektor, sama ada penjawat awam negeri, penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Selangor, pekerja sektor swasta, serta tidak dilupakan juga peranan ibu dan bapa yang mungkin tidak ditakrifkan sebagai pekerja tetapi mengambil tanggungjawab untuk mendidik dan membangunkan anak-anak demi melahirkan generasi muda yang berwawasan,” katanya.
Amirudin turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada para majikan yang terus memberi peluang kepada pekerja di Selangor untuk menceburi pelbagai bidang dan sektor sambil mengekalkan kedayatahanan terutamanya dari segi kewangan.
“Semoga usaha berganding bahu ini terus kekal dan mampu menambah kualiti hidup pekerja-pekerja di Selangor dengan gaji yang setimpal dan berkembang, seiring dengan pengembangan ekonomi negara.
“Sekali lagi, bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada setiap pekerja di Negeri Selangor. Raikanlah dengan keluarga tersayang,” ujarnya. -MalaysiaGazette