Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Isu bekalan gula terputus di Kelantan dan Terengganu mungkin disebabkan pengilang mengurangkan kapasiti bagi menyerap kenaikan kos.

Ini disebabkan harga gula mentah di pasaran dunia meningkat ekoran pengurangan bekalan disebabkan cuaca serta penanaman tebu merosot di Brazil dan India.

Media-media antarabangsa sejak beberapa minggu lalu melaporkan harga gula mentah mencapai paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun susulan penurunan mendadak bekalan global.

Katanya, setakat tahun ini harga gula melonjak 19 peratus dan mungkin boleh meningkat lagi susulan kenyataan India yang enggan menambah kuota eksportnya.

Sumber Malaysia Gazette memberitahu, sudah tiba masanya kerajaan memansuhkan harga kawalan terhadap gula.

Beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini menambah, kebanyakan negara di dunia sudah meliberalisasi harga gula masing-masing.

“Harga gula mentah dan diproses mahal sekarang, rasanya ini kadar termahal dalam tempoh 11 tahun disebabkan kurangnya penanaman di Brazil dan India serta faktor cuaca.

“Disebabkan faktor bekalan mentah kurang maka eksport juga akan terjejas sehingga menyebabkan harga gula melonjak.

“Bila harga gula mentah mahal, pengilang pastinya rugi apabila menjual bahan itu pada harga runcit terkawal iaitu RM2.85 sekilogram.

“Tambahan pula, kos logistik untuk penghantaran ke Kelantan dan Terengganu adalah mahal.

“Mungkin disebabkan itu mereka tidak mahu mengeluarkan bekalan yang banyak sehingga menyebabkan isu ketiadaan gula di Kelantan dan Terengganu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kenyataan itu hampir selari dengan gesaan salah sebuah pengilang gula di Malaysia, MSM Malaysia Holdings Bhd. yang mahukan kerajaan menaikkan harga gula di negara ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Syed Feizal Syed Mohammad, harga gula di Malaysia adalah yang termurah di dunia, malah lebih rendah daripada Brazil dan Thailand yang merupakan dua pengeluar utama gula dunia.

Untuk rekod, harga runcit gula di Thailand adalah RM3.50 sekilogram manakala negara-negara lain di Asia adalah sekitar RM4.50 hingga RM6.50 sekilogram.

Tambahnya, harga gula di Malaysia tidak pernah berubah sejak sedekad yang lalu.

Menurut laporan tahunan kewangan 2022 yang dikeluarkan beberapa hari lalu, MSM merekodkan kerugian bersih sebanyak RM178.71 juta walaupun mencatatkan pendapatan RM2.57 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Katanya, kerugian itu disebabkan pengurangan margin berterusan bagi segmen harga kawalan runcit dan tanpa subsidi.

Syed Feizal menambah, pada 2022, MSM menyemak semua semua harga purata jualan (API) dan premium bagi mendapatkan cerminan sebenar kos input yang lebih tepat. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Baguih betoi sumber berita ni. Benda hat kartel2 besaq, senarai terkaya 1-10 ni, pandai dia suruh hapus harga kawalan. Apasai tak suruh hapuskan ja monopoli oleh kartel2 ja, buka ja AP import utk syarikat lain? Hilang dah idea monopoli? Kalau libatkan syarikat bangsa melayu ja, bru dikira monopoli eh?

Comments are closed.