Datuk Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mencari jalan untuk menambah hasil pendapatan negara jika mahu melaksanakan skim gaji minimum kepada penjawat awam.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, jika keadaan ekonomi masih pada tahap hari ini, memang sukar untuk kerajaan melunaskan permintaan penjawat awam agar gaji minimum dilaksanakan.

Katanya, beliau tidak terkejut kalau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya semalam menyatakan, pelaksanaan gaji minimum masih sukar dilaksanakan dan pelaksanaannya juga hiruk-pikuk.

“Alasan inilah juga yang kita dengar ketika Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih kerajaan dahulu hingga beliau menangguhkannya sebanyak dua kali.

“Semalam pun Anwar kata begitu juga. Kalau kita ada duit, kutipan pendapatan lebih, kita akan beri keutamaan kepada penjawat awam dan sebagainya.

“Oleh itu, gaji minimumkah atau apa-apa perbelanjaan sekalipun, kalau kita tak ada duit memang rumitlah,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, isu pelaksanaan gaji minimum akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet bulan depan untuk mendapatkan penyelesaian ‘sekali dan untuk semua’.

Zaid juga tidak bersetuju dengan cadangan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengambil kira kedudukan syarikat yang perniagaannya tidak memberi keuntungan besar untuk menambah kadar caruman kepada pekerja.

Bahkan, katanya, jika cadangan itu dipersetujui Kabinet, ia akan memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Ini boleh membangkrapkan negara. Kalau majikan bayar 20 peratus, mereka berniaga apa sehingga boleh keuntungan begitu banyak dan dapat bayar caruman 20 peratus?

“Pada saya, cadangan itu tidak sesuai. Kerajaan perlu mencari jalan lain untuk tambah pendapatan negara seperti mengarahkan rakyat Malaysia yang kaya raya membawa balik wang mereka.

“Buat seperti Indonesia suatu ketika dahulu mengarahkan rakyatnya yang kaya raya simpan duit di Singapura kemudian bawa balik ke negara asal mereka.

“Rakyat kita pun banyak juga simpan duit di luar atas beberapa sebab. Carilah jalan bawa balik duit mereka ke sini, tak payahlah kawal sangat,” katanya. – MalaysiaGazette