Dr Muhammad Radzi (tengah) menghadiri Sesi Townhall Kertas Putih Kesihatan Zon Utara di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Kesihatan (KKM) berharap Kertas Putih Kesihatan yang bakal menjadi permulaan perjalanan reformasi sistem kesihatan Malaysia akan mendapat sokongan penuh sebelum ia dibentang di Parlimen pada Jun depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, Kertas Putih Kesihatan merupakan sebuah dokumen yang menggariskan cabaran utama dihadapi sistem kesihatan dan mengemukakan cadangan penyelesaian turut memberi tumpuan dalam mengubah konsep kesihatan masyarakat ke arah strategi pencegahan.

Dr Muhammad Radzi.

Jelas beliau, antara isu yang dibangkitkan tertumpu kepada penambahbaikan perkhidmatan sistem kesihatan negara yang sering menghadapi kesesakan termasuk di wad kecemasan serta pusat kesihatan.

“Cadangan mengenai penambahbaikan Kertas Putih ini sedang dilaksanakan sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada Jun nanti bagi mendapatkan sokongan dwipartisan ahli Parlimen agar pelaksanaan dapat dijalankan.

“Dokumen ini sudah lengkap merangkumi aspek kesihatan yang mana daripada segi pelaksanaan sebenarnya ia sudah bermula namun perlu dioptimumkan lagi meliputi strategi, perancangan dan KKM tidak bersendirian dalam perkara ini kerana kita memerlukan penglibatan semua pihak.

“Malah kita percaya menerusi Kertas Putih ini bakal menjadi permulaan perjalanan reformasi sistem kesihatan negara ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Townhall Kertas Putih Kesihatan Zon Utara di Dewan Sri Pinang, di sini, hari ini.

Sesi Townhall Kertas Putih Kesihatan Zon Utara diadakan di Dewan Sri Pinang hari ini.

Kertas Putih Kesihatan telah dirangka dengan mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh termasuk rakyat untuk memastikan ia bersifat holistik dan inklusif.

Dokumen ini menggariskan empat tonggak dan lima belas strategi reformasi kesihatan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

Antara tonggak yang dicadangkan adalah memfokuskan penyampaian perkhidmatan kesihatan, memperkukuhkan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit, memastikan pembiayaan kesihatan yang mampan dan saksama serta memperkukuhkan asas sistem kesihatan dan tadbir urus.

Mengulas mengenai isu penstrukturan bayaran rundingan untuk pengamal perubatan am (GP) yang dibangkitkan ketika sesi soal jawab, Dr Muhammad Radzi berkata, ia akan diteliti selepas kelulusan Kertas Putih Kesihatan di Parlimen.

“Bayaran itu kita akan lihat bagaimana. Kita kena luluskan dulu Kertas Putih Kesihatan (di Dewan Rakyat),” katanya.

Terdahulu, peserta sesi townhall, Dr M. Kanthan mencadangkan agar struktur bayaran untuk doktor yang mempunyai klinik sendiri dikaji semula.

Beliau yang juga wakil Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Pulau Pinang berkata, tiada perubahan bayaran perkhidmatan untuk doktor di klinik swasta sejak 25 tahun lalu. – MalaysiaGazette