Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Mohd Jarjis (kiri), Aminah Abdullah (kanan)

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini menetapkan status tuntutan harta sepencarian melebihi RM2 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr. Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya.

Status kes itu sepatuitnya ditetapkan hari ini namun Hakim Mahkamah Syarie, Abdul Shukor Abd Hamid menangguhkannya.

Ini kerana Peguam Syarie, Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Dr. Kalsom perlu menghadiri mesyuarat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di Putrajaya, hari ini.

Peguam mewakili plaintif (Dr Kalsom), Nor Husniah Husin memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah memohon penangguhan itu pada 18 April.

Hakim kemudian menetapkan prosiding ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang esok.

Prosiding dijangka didengar secara tertutup seperti yang telah diarahkan sebelum ini.

Pada 1 November tahun lepas, kes tuntutan harta sepencarian berjumlah RM2 bilion itu mungkin akan diselesaikan tanpa melalui perbicaraan.

Dr. Kalsom memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Mekah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya sebagai defendan.

Pada 4 April 2015, Allahyarham Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke ibu negara terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. -MalaysiaGazette