Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

SHAH ALAM – Enam suspek yang terlibat dalam kejadian mencuri cip elektronik milik sebuah syarikat logistik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terpaksa berputih mata kerana hasil rompakan itu tidak dapat dipasarkan.

Dalam kejadian 21 April lalu di kawasan kargo KLIA, dua lelaki yang tidak dikenali itu telah memecahkan sebuah kargo dan membawa lari lapan kotak mengandungi barang elektronik yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.5 juta.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dua lelaki terbabit memecahkan kargo berkenaan dengan bantuan dua pekerja di bahagian itu dalam kejadian pukul 4.36 pagi.

Bertindak atas maklumat, pada 26 hingga 28 April lalu, Bahagian Siasatan Jenayah (JSK) Ibupejabat Polis Daerah KLIA bersama D4 JSK IPK Selangor dan D6 JSJ Bukit Aman telah membuat serbuan di kawasan KLIA, Sungai Pelek dan Nilai, Negeri Sembilan.

“Hasil serbuan, polis berjaya menahan enam lelaki warganegara berumur lingkungan 21 hingga 38 tahun dan menjumpai semula lapan kotak barang elektronik termasuk pemotong rantai dan kenderaan yang digunakan semasa mencuri di gudang berkenaan.

“Anggaran kerugian sebanyak RM1.5 juta,” katanya pada sidang media khas kejayaan IPK Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan daripada pengurus syarikat itu pada 22 April lalu, jam 11 pagi.

Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pengawal keselamatan  tiada semasa kejadian berlaku.

“Selepas soal siasat dijalankan, empat telah mengaku terlibat dalam kes kecurian lapan kotak barang elektronik tersebut, di mana dua suspek adalah pekerja gudang syarikat terbabit.

“Semua suspek kini ditahan reman sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda,” katanya.

Sementara itu, kata Hussein, polis Selangor juga berjaya menangkap dan merampas hasil rompakan kumpulan samun bertopeng dan bersenjata parang di daerah Kajang.

Katanya, dalam kejadian 23 April lalu, pada pukul 10.45 pagi, IPD Kajang telah menerima satu laporan daripada pengadu, seorang lelaki Cina berumur 42 tahun yang merupakan mangsa dalam kejadian samun dalam rumahnya.

“Kumpulan penyamun itu telah melarikan sebuah kenderaan milik mangsa di kawasan taman perumahan di Bukit Mewah, Kajang.

“Dalam kejadian 9.15 pagi itu, suspek iaitu tiga lelaki memakai topeng kain tutup muka telah mengumpil pintu dan memecah memasuki rumah pengadu yang ketika itu bersama keluarga berada dalam rumah.

“Kehadiran suspek telah disedari mangsa, menyebabkan suspek terus keluar dari rumah berkenaan. Namun, suspek sempat merampas dan membawa lari sebuah kereta jenis Toyota Harrier berwarna putih milik mangsa,” katanya.

Kata Hussein lagi, hasil siasatan lanjut melalui rakaman CCTV rumah jiran, suspek dipercayai menaiki kenderaan jenis Perodua Myvi warna merah, nombor pendaftaran tidak pasti.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut, pada 25 hingga 30 April lalu, sepasukan polis dari Cawangan D9 IPD Kajang dibantu JSJ Selangor telah membuat beberapa siri serbuan dan tangkapan di sekitar Selangor, Melaka, Kedah dan Johor.

Kata beliau, dalam serbuan itu, polis berjaya menangkap seramai 12 lelaki warganegara berumur lingkungan 26 hingga 48 tahun yang dipercayai terlibat secara langsung dalam kejadian itu.

“Hasil siasatan dan soal siasat lanjut JSJ Selangor mendapati kumpulan sindiket samun berkumpulan bersenjata parang dan memakai topeng muka ini mensasarkan rumah teres dua tingkat yang dapat dimasuki pada siang hari serta turut melarikan kenderaan milik mangsa.

“Hasil semakan melalui laporan polis yang diterima, kumpulan samun berkumpulan ini dipercayai telah melakukan sebanyak 34 kes samun di Kontinjen Selangor bagi tempoh Januari hingga April 2023.

“Dalam beberapa siri tangkapan yang telah dibuat ke atas 12 subjek kumpulan sindiket ini, polis telah merampas, 14 telefon bimbit, masing-masing satu komputer riba, sebilah parang, peralatan perkakas pecah rumah, pakaian suspek, wang tunai RM3,020 dan dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Harrier yang telah disamun serta dilarikan suspek dalam kes sebelum ini,” ujar beliau.

Selain itu, tiga kenderaan jenis Perodua Myvi dan Proton Waja yang digunakan untuk melakukan kegiatan samun itu turut dirampas termasuk salah sebuah kenderaan tersebut masih dalam rekod hilang bersabit kes kecurian kereta di Petaling Jaya.

Beliau percaya dengan tertangkapnya suspek dan sejumlah rampasan daripada kumpulan sindiket itu, sebanyak enam kejadian kes samun serta melarikan kenderaan di daerah Kajang dapat diselesaikan.

“Semua suspek yang ditangkap masih dalam tempoh tahanan reman sehingga 4 Mei ini bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan dimajukan kepada pihak pendakwaraya bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran di seluruh kontinjen Selangor atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Ismail Derani di talian 019-2090260 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette