Peguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat salah seorang daripada empat peguam pemerhati bagi mengikuti kes Bella oleh TMJ.

KUALA LUMPUR – Kes pengabaian dan penderaan terhadap remaja kelainan upaya, Bella merupakan manifestasi kelompangan perundangan yang perlu ditambahbaik terhadap Akta Kanak Kanak 2001.

Peguam pemerhati yang mewakili Tengku Mahkota Johor berkata, adalah penting bagi memastikan operasi pusat yang berkaitan dengan asuhan, jagaan atau perlindungan kanak-kanak hanya dilakukan oleh mereka yang  terlatih.

Katanya, pihak berkuasa harus memastikan pusat tersebut tidak dijadikan sebagai medium untuk mengaut derma atau sumbangan daripada mana-mana pihak.

“Justeru adalah menjadi keutamaan yang mendesak untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Kebangsaan Bagi Kanak Kanak yang ditubuhkan di bawah Akta Kanak Kanak mengaktifkan segera dasar dan Pelan Tindakan Kanak Kanak komprehensif yang telah sedia wujud.

“Ini bagi memastikan kes Bella ini tidak akan berlaku lagi dalam negara kita yang bertamadun ini.

“Pelan dan dasar ini perlu dilaksanakan dengan pematuhan tegas dan tidak boleh hanya berbunyi secara bermusim setiap kali berlakunya kes penderaan kanak kanak,” katanya dalam kenyataan.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah melantik empat peguam pemerhati bagi mengikuti kes Bella iaitu Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Baljit Singh, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman.

Peguam terbabit berkata, sejak mula mengikuti kes tersebut mereka telah melihat sendiri kecederaan akibat penderaan Bella.

Mereka berpandangan, kecederaan berkenaan terlalu sakit untuk ditanggung oleh seorang kanak-kanak hingga meninggalkan kesan trauma dari segi mental, emosi dan fizikal.

“Dengan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen pada hari ini, tertuduh masih mempunyai ruang untuk merayu ke Mahkamah Tinggi jika beliau berkehendak sedemikian.

“Dan pihak pendakwaan juga punya hak untuk merayu jika hukuman yang diputuskan pada hemah pendakwa raya sebagai tidak mencukupi.

“Pihak kami sebagai peguam pemerhati lantikan TMJ merakamkan penghargaan kepada aktivis JusticeforBella yang membuka mata masyarakat akan episod penderaan yang telah berlaku dan menjunjung kasih di atas keprihatinan DYAM Tunku Mahkota Johor dan isteri,” katanya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi hari ini memutuskan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman pemenjaraan 10 tahun dari tarikh sabitan dan bagi pertuduhan kedua tertuduh dijatuhi hukuman pemenjaraan 12 tahun dari tarikh sabitan.

Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan secara serentak.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah jatuh hukum penjara 12 tahun kepada Siti Bainun

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast