Datuk Prakadeesh Kumar

KUALA LUMPUR – Syarikat Plus Max Group of Companies akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan khusus untuk generasi muda apabila sebuah taman perindustrian yang sedang dibina di Seberang Perai, Pulau Pinang siap.

Pengarah urusannya, Datuk Prakadeesh Kumar berkata, syarikat itu telah membeli sebidang tanah seluas 83.2 hektar di daerah Seberang Perai untuk dibangunkan sebagai kawasan perindustrian.

“Kami beli tanah untuk mewujudkan taman perindustrian iaitu di kawasan Seberang Perai Selatan dan sedang melakukan kerja pembangunan dengan kerjasama seorang pemaju tempatan.

“Apabila projek pembangunan itu siap sepenuhnya nanti kami akan membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis makan malam penghargaan dan majlis pelancaran produk di ibu negara baru-baru ini.

Dalam satu lagi perkembangan lain, beliau juga mengesahkan pihaknya juga akan membuka The Nautilus Resort sebuah hotel bertaraf lima bintang di Pulau Langkawi, Kedah pada Mac 2024.

Katanya, selaku pelabur bersama dalam Nautilux Resort itu, hotel mewah itu dengan 250 bilik akan dibuka di kawasan Pantai Cenang itu dan telah dimulakan kerja pembinaan pada tahun 2019.

“Kita membangunkan resort itu dengan kos berjumlah RM200 juta dan dijangkakan siap pada akhir tahun ini. Apabila siap nanti ia akan menawarkan pilihan penginapan bertaraf antarabangsa kepada pelancong domestik dan antarabangsa yang melancong ke pulau tersebut.

“Pulau Langkawi diketahui umum sebagai destinasi tarikan pelancong antara terbaik di dunia dan resort kami selepas dibuka nanti bukan hanya membantu pertumbuhan ekonomi negara dan sektor pelancongan serantau malah turut membuka peluang pekerjaan,” tegasnya.

Plus Max Group merupakan semua syarikat yang terlibat dalam produk cukai bebas selain terlibat perniagaan sektor pembinaan, perkilangan, pendidikan, perhotelan, teknologi maklumat dan digital, kesihatan dan sebagainya.- MalaysiaGazette