ADUN Teruntum yang juga Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang bertemu dua wanita yang ketakutan anak perempuan 11 tahun dan 10 tahun menjadi sasaran pedofilia alam maya.

KUANTAN – Jelik dan memualkan apabila terdapat individu yang tergamak merakam video menunjukkan kemaluan di hadapan paparan gambar kanak-kanak perempuan dan memuat naik di laman media untuk tatapan umum.

Lebih menakutkan, si pelaku berkemungkinan merupakan individu yang mengenali kanak-kanak berkenaan dan keluarganya.

Bimbang akan keselamatan anak perempuan mereka yang menjadi mangsa sasaran pedofilia, dua wanita yang menetap di Kemaman, Terengganu hari ini menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjalankan siasatan dan mengesan pelaku terbabit.

“Pada 15 Mac lalu, kawan saya telefon kata ada gambar anak saya tersebar dalam video jijik di aplikasi Twitter,” kata salah seorang mereka yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Madam Tan’ ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, di Beserah, di sini.

Menurut Madam Tan, penyebaran klip video terbabit dipercayai didalangi sekumpulan individu warga Kemaman dan turut membabitkan rakan Facebooknya.

Ia kerana, dia mendakwa gambar-gambar tersebut sebelum ini telah dimuatnaik di Facebook story miliknya dan telah ditangkap layar oleh kenalan yang melihat hantaran itu.

Gambar-gambar itu, katanya, kemudian dipaparkan sebagai latar belakang dalam klip video lucah memaparkan kemaluan seorang lelaki dan dimuat naik ke laman Twitter.

Lebih mengejutkan, video terbabit ada yang telah meraih lebih 2.4 juta tontonan di aplikasi itu sahaja.

“Sebelum ini, setiap hari akan ada video dimuat naik di akaun Twitter tu dengan kapsyen bahasa Cina yang berbaur lucah. Bukan anak saya sahaja, ada enam atau tujuh lagi gambar anak-anak perempuan kenalan saya di Kemaman.

“Jadi, saya dan rakan saya terus buat laporan polis sebab gambar saya dan anaknya juga terlibat. Tapi setakat hari ini belum ada perkembangan,” jelasnya.

Bagaimanapun, tambah beliau, akaun Twitter yang bertanggungjawab menyebar video terbabit turut d laporkan dan telah dipadamkan.

“Tapi, dua atau tiga hari lepas, seorang lagi kawan saya datang bertanya jika saya tahu ada gambar kami di aplikasi Twitter. Katanya gambar itu dihantar semula daripada kenalannya.

“Dari situ, saya sedar bahawa semakin ramai yang tahu berkenaan hantaran tersebut dan saya berasa sangat takut. Sebab itu, saya mohon pertolongan dengan YB Sim. Saya tak tahu nak buat apa lagi,” luah Madam Tan.

Dia turut mendedahkan, ekoran penyebaran video terbabit, anaknya tidak dapat tidur akibat ketakutan dan sering menangis kerana terganggu dengan penyebaran video itu.

Menurut Madam Tan, dia bertambah khuatir untuk melepaskan anak tunggalnya ke mana-mana, tambahan pula gadis itu bakal memasuki sekolah menengah tahun hadapan.

“Harapan saya agar polis dan SKMM tolong saya siasat siapa dalang yang melakukan perbuatan keji ini,” katanya.

Dalam pada itu, ADUN Teruntum yang juga Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang berkata, pihaknya akan membantu keluarga mangsa untuk menghadapi perkara ini.

Beliau juga berharap agar pihak berkuasa dapat mengesan dalang perbuatan terkutuk itu agar tidak ada perkara tidak diingini berlaku kepada kanak-kanak perempuan yang terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast