Datuk Sulaiman Abdul Razak
Temubual Ketua UMNO Bahagian Tg Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak di Seksyen 7, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 04 MEI 2023.

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) perlu mengambil kira rekod prestasi seseorang bekas pemimpin UMNO sebelum mereka diterima menyertai blok politik itu bagi mendepani enam Pilihan Raya Negeri (PRN) Jun ini.

Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, walaupun setiap bekas pemimpin itu mempunyai penyokong namun rekod prestasi buruk tidak memberi sebarang manfaat kepada PN kelak.

“Kita kena tengok rekod prestasi bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor (Tan Sri Noh Omar). Sejak PRU14, kerusi (DUN) kita dari 20 kerusi pada 2008 menurun kepada 12 kerusi.

“Pada 2013 pula sewaktu beliau mengemudi UMNO sepenuhnya, kita tinggal empat kerusi (DUN).Kita kena ambil kira prestasi dan hari ini bila sampai ke PRU15, sifar Parlimen dimenangi BN, sebab Parlimen itu di bawah pengurusan beliau (Noh),” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PN sentiasa terbuka untuk menerima tokoh ternama dalam kalangan bekas pemimpin UMNO selagi mereka relevan dengan politik semasa serta selari perjuangan gabungan itu.

Menteri Besar Kedah itu berkata, pihaknya percaya bekas pemimpin UMNO mempunyai pengaruh tersendiri lantas mampu menyumbang kemenangan kepada PN dalam enam PRN sekiranya menyertai gabungan itu.

Tambah Sulaiman, sekiranya bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang itu mempunyai rekod prestasi yang cemerlang sudah pasti parti Melayu itu boleh bangkit di Selangor.

“Kita kena tengok, kalau cemerlang, sudah tentu UMNO akan mencapai kejayaan dulu, beliau dapat bangkitkan semula UMNO.

“Saya tak memperkecilkan juga kemampuan dan keupayaan beliau ataupun mana-mana individu yang nak dipelawa masuk PN. Biasalah PN pun ambil peluang juga, sedikit banyak undi ada, nak mengambil peluang itu,” katanya.

Katanya lagi, rekod prestasi itu bukan sahaja diukur daripada kejayaan peribadi bekas pemimpin UMNO memenangi mana-mana kerusi Parlimen, sebaliknya perlu mengambil kira kemenangan parti secara keseluruhan.

“Saya tengok bekas ketua Pemuda UMNO yang bertanding di Parlimen Sungai Buloh, kalau beliau memang ikon anak muda, calon pemuda pun mereka kalah.

“Ini saya tak nampak, dulu ada seorang bekas pemimpin UMNO beritahu bila Khairy Jamaluddin terkeluar dari UMNO, rugi sebab orang muda takkan sokong UMNO.

“Beliau pernah jadi ketua pemuda, waktu UMNO kalah 2018, beliau ketua pemuda di mana sokongan pemuda waktu itu?” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast