KUALA LUMPUR – Jika ada mana-mana ahli Parlimen pembangkang dan yang seangkatan dengan mereka mahu menumbangkan kerajaan, bawalah sokongan ke Parlimen dan istana.
Demikian menurut ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil.
Menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, beliau berkata, setiap kali pertukaran kerajaan dengan cara pintu belakang, ia akan menggugat kestabilan politik dan merencat keadaan ekonomi.
“Yang susah adalah rakyat. Saya tahu kamu terdesak mahu tukar kerajaan sebab kamu mahu lari daripada pendakwaan mahkamah dan kamu ingin menyelamatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tengkok kamu sendiri daripada didakwa dan dipenjara,” katanya.
Jelas Isham lagi, Perikatan Nasional (PN) seharusnya berhadapan dengan setiap pendakwaan dan proses mahkamah serta menjawab di hadapan hakim.
“Pemimpin UMNO ramai yang sudah melalui proses ini sebelum ini, kamu tidak boleh terkecuali. Kamu perlu bertanggungjawab ke atas apa yang kamu buat semasa kamu berkuasa.
“Tiada siapa yang terkecuali dari proses pengadilan dan kebertanggungjawaban ini,” katanya lagi.
Isham berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa PN menunjukkan sudah mempunyai cukup sokongan di Parlimen dan Istana.
Jelas Isham lagi, dalam keadaan hari ini, beliau merasakan kerajaan tidak akan isytihar darurat seperti mana yang Muhyiddin buat dulu apabila dia hilang sokongan.
Sebelum ini, pelbagai desas-desus mengenai usaha untuk menggulingkan kerajaan sedia ada setelah PN dikatakan sudah mempunyai sokongan daripada ahli Parlimen.
Namun sehingga kini, kesahihan berita itu belum dapat dipastikan. – MalaysiaGazette