Rafizi beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pandan di dewan orang ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa mengikuti dengan dekat keluhan yang dibangkitkan rakyat termasuk isu kos sara hidup.

Justeru, tidak timbul isu kerajaan mengetepikan perkara itu sebagaimana yang ditimbulkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Dia terpulang sebenarnya, kalau nak bandingkan kalau yang datangnya dari Azmin Ali, it’s a bit rich.

“Semasa beliau (Azmin) menjadi menteri dulu dengan kesusahan rakyat, PKP dan sebagainya dia bukan sahaja tak dengar keluhan rakyat, komen dekat sosial media dia pun dia tutup, tak boleh komen.

Coming from someone from Azmin Ali nak timbulkan isu konon kerajaan tak dengar keluhan rakyat, saya rasa kita terus mengikuti dengan dekat,” katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pandan, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Mohamed Azmin mengatakan Kerajaan Perpaduan tidak mendengar keluhan rakyat serta tidak menyelesaikan isu kenaikan kos sara hidup.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau juga mengikuti dengan rapat sentimen rakyat mengenai ekonomi sejak 2016 dan setiap bulan beliau mengukur mereka kepada kedudukan ekonomi akan datang.

Ujarnya, memang akan diadakan kaji selidik sama ada rakyat berpandangan positif atau tidak tentang kedudukan ekonomi mereka untuk tahun depan berbanding sekarang.

“Sejak kerjaan ambil alih dari Januari, Februari, April memang tiap-tiap bulan menunjukkan ada (kaji selidik).

“Ketika ini beransur positif dan menjadi positif berbanding dengan kerajaan terdahulu, nak masuk PRU15, tahap positif rakyat Malaysia konon negara 30 peratus sahaja, yang terkini cecah 41 peratus, ada peningkatan.

“Saya hormati pandangan dan hak masing-masing. Kalau datang dari Azmin a bit rich la for someone who even didnt allow people to comment.

“Dalam Parlimen pun kita dengar, dalam sosial media pun kita dengar itu memang hak dan peranan masing-masing bersabit ekonomi. Dalam masa sama kementerian ekonomi kena lihat kepada beberapa kayu ukur prestasi ekonomi negara, walaupun ada rasa beban kos sara hidup,” tambahnya. – MalaysiaGazette