KUALA LUMPUR – Susulan kejayaan juara Intercommonwealth Melbourne City Wrestling (MCW), Emman Azman pada tahun lalu, Malaysia Pro Wrestling (MYPW) sedang mencari bakat baharu dalam kalangan anak muda yang berusia 18 tahun ke atas.
Pencarian itu untuk diketengahkan sebagai pelapis dalam industri sukan gusti profesional negara.
“Melihat kepada potensi sukan gusti profesional ini, MYPW yakin dapat menggilap bakat-bakat pelapis anak muda melalui silibus latihan terkini di samping dapat memupuk disiplin dan jati diri ke arah gaya hidup sihat,” kata MYPW dalam satu kenyataan.
Emman Azman, 22, dikenali sebagai Golden Boy mengharumkan nama negara apabila merangkul tali pinggang kejuaraan Intercommonwealth Melbourne City Wrestling (MCW) pada tahun lalu.
Di samping itu, Emman turut mencipta kemenangan dalam siri kejohanan gusti peringkat Asia dan terkini berjaya menembusi penyertaan dalam syarikat gusti kedua terbesar dunia, New Japan Pro Wrestling (NJPW), baru-baru ini.
Kejayaan ini diikuti anak muda berusia 20 tahun, Miles Karu, yang mencipta sejarah merangkul tali pinggang Juara MYPW National Wrestlecon apabila menentang tiga penggusti pada Kejohanan Gusti New Breed, Februari lalu.
Miles disahkan menyertai kejohanan gusti SETUPTH bagi mempertahankan tali pinggang kejuaraan yang berlangsung di Thailand, pada 22 Julai ini.
Menurut MYPW, mereka yang berminat menimba pengalaman sukan gusti, boleh hadir ke sesi ‘Tryouts’ MYPW bertempat di Stadium Mini Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 20 Mei depan. – MalaysiaGazette