Sebahagian daripada kira-kira 500 penduduk di Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh, Melaka menggesa campur tangan kerajaan membantu mereka daripada berisiko menjadi mangsa tanah runtuh akibat hakisan tebing daripada projek pembangunan rumah kedai di hadapan kediaman mereka sejak setahun yang lalu.

MELAKA – Kira-kira 500 penduduk Taman Muzaffar Shah di Ayer Keroh, di sini, ibarat tak lena tidur malam memikirkan keselamatan diri menjadi mangsa tanah runtuh hakisan tebing projek pembangunan rumah kedai di hadapan kediaman mereka.

Dakwa penduduk, walaupun kerajaan dan pemaju sudah memberikan jaminan kawasan itu selamat daripada bencana, ia tidak mampu memberikan ketenangan buat mereka sejak projek tersebut bermula tahun lalu.

Penduduk, Abdul Rashid Alip, 57, berkata, semua kerja-kerja pencegahan tanah runtuh dilihat diambil secara sambil lewa atau tidak menepati spesifikasi sepatutnya, menjadikan kesan keretakan di jalan masih ketara termasuk kejadian tanah runtuh masih berlaku.

Abdul Rashid Alip

“Baru dua hari lepas, berlaku keruntuhan tebing tanah di Jalan Sri Raya 7 (JSR7) dan beberapa bulan lepas kejadian sama berlaku di  JSR4 dan keretakan tanah ini membuatkan kami tak lena tidur malam memikirkan nasib diri.

“Kami berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil tindakan keras terhadap pemaju untuk ambil tindakan pencegahan sewajarnya demi keselamatan kami dan bukannya memberi alasan tidak masuk akal,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Zainon Baba, 52, yang sudah 25 tahun menetap di taman berkenaan berkata, dia tidak menyangka episod hitam itu terpaksa dilalui sejak setahun lalu sedangkan ia sepatutnya boleh dielakkan.

Zainon Baba

“Sebelum ini sudah berlaku sekurang-kurangnya beberapa kali runtuhan tebing dan sejak itu saya tak percaya lagi kualiti kerja dilakukan pemaju kerana hakisan tebing di hadapan rumah terus berlaku sampai tiga kali.

“Sejak itu, setiap kali terjaga sahaja dari lena, saya akan lihat zink penghadang tinggi yang dipasang di tebing itu, sama ada masih berdiri atau sudah runtuh,” katanya.

Tambahnya, itu tidak termasuk masalah pencemaran habuk yang terpaksa dihadapi ketika musim kemarau apabila debu pasir daripada projek itu melitupi lantai rumah.

“Ini menyebabkan penduduk terpaksa hadkan aktiviti di luar rumah, malah nak jemur baju pun terpaksa pasang ampaian dalam rumah kerana debu kotor.

“Saya tak sangka, dulu beli rumah di zon hijau di sini ingatkan bangun tidur dapat lihat flora yang baik untuk kesihatan tapi rupanya hari ini dapat pemandangan yang boleh mengancam nyawa saya,” katanya.

Ismail Othman

Pandangan sama dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Ayer Keroh Height, Ismail Othman merayu campur tangan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang baharu dilantik Mac lalu dalam menyelesaikan isu itu.

“Sebelum ini, pihak berkuasa sudah mengarahkan pemaju projek mematuhi beberapa perkara sebelum meneruskan projek, namun kami tak nampak perkara berkenaan dipatuhi.

“Sebab itu, kali ini kami minta campur tangan Ketua Menteri yang baharu Datuk Seri Ab Rauf untuk menilai apakah semua langkah sepatutnya sudah diambil untuk membela nasib kami,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast