Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang

KUALA LUMPUR – Pelanjutan tempoh enam bulan kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) adalah bagi memastikan rantaian bekalan nadir bumi global tidak terjejas.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menjelaskan, keputusan itu tidak mengubah ketetapan bahawa kerajaan telah menolak permohonan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen yang ditetapkan sebelum ini.

Sehubungan itu katanya, bermula 1 Januari, syarikat berkenaan perlu memastikan loji cracking and leaching (C&L) milik Lynas di luar negara telah mula beroperasi.

Selain itu, Lynas juga tidak lagi dibenarkan mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi ke Malaysia.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira kepentingan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan kesihatan awam.

“Berdasarkan Seksyen 32(5), Akta Perlesenan Tenaga Atom, keputusan yang dibuat oleh Menteri adalah muktamad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Lih Kang, Kerajaan Malaysia Madani memahami kepentingan industri nadir bumi dan komited untuk memastikan sebarang urusan perniagaan yang dijalankan berkaitan industri ini tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan penduduk setempat.

Justeru, keputusan itu diambil selepas penilaian yang teliti, berlandaskan prinsip kelestarian, pembangunan dan keselamatan. – MalaysiaGazette