MELAKA  – Padah membuli pengguna jalan raya lain dengan mengacukan sepucuk pistol tiruan dan menakut-nakutkan secara jenayah, seorang lelaki dijatuhi hukuman 14 bulan penjara di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu bulan lalu.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Low Zhao Yuan, 29, yang membuat pengakuan itu sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati telah menakut-nakutkan secara jenayah hendak menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zulhusni Mohamad Amin, 24.

Ia menjadi kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sana yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati memiliki sepucuk pistol tiruan jenama Wingun Patent Super Sport 702Cal. 6mm BB bernombor siri 14F76026 mengandungi enam butir peluru.

Sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.17 tengah malam 28 April lalu di jalan berhadapan Bangunan Melaka Mall, Jalan Lebuh Ayer Keroh, di sini.

Peguam James S Thanjong Tuan dalam rayuannya memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana hanya berpendapatan bulanan RM2,300 dan perlu menyara menyara kedua ibu bapa dan dua anak yang masih bersekolah berumur tujuh dan 12 tahun

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri, bagaimanapun dalam hujahannya memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana telah mengambil tindakan terburu-buru dan berbahaya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Mazana kemudian mengarahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara lapan bulan bagi pertuduhan pertama dan enam bulan penjara untuk kesalahan kedua.

Kedua-dua hukuman diarahkan berjalan serentak dari dari tarikh ditangkap pada 28 April lalu menjadikan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman selama lapan bulan.

MalaysiaGazette pada 28 April lalu melaporkan orang ramai berjaya memberkas pemandu sebuah Perodua Myvi selepas lelaki itu mengacukan sepucuk pistol berisi peluru terhadap seorang penunggang motosikal di Jalan Lebuh Ayer Keroh berhadapan pusat beli belah, Melaka Mall di sini.

Kejadian berlaku selepas suspek berang kerana dihon penunggang berkenaan yang hampir melanggarnya ketika membuat pusingan U.

Kedua-dua mereka kemudian berhenti di tepi jalan, sebelum suspek memarahi pengadu dalam dalam bahasa Mandarin dan mengeluarkan sepucuk pistol dari dalam keretanya dan mencekak belakang leher pengadu.

Suspek kemudian mengacukan pistol ke kepala pengadu sebelum berlaku pergelutan yang akhirnya pengadu berjaya merampas senjata api berkenaan menyebabkan suspek terus melarikan diri dengan kenderaannya itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sesuai dan bertepatan dgn hukum dan tidak harus dikompromi dgn manusia yg masih hidup dan mengamalkan sikap jahiliah, malah tidak sesuai lagi jika berfikiran saperti IQ GORILA .

Comments are closed.