PUTRAJAYA – Kerajaan mengambil berat terhadap peningkatan ketara jumlah pelarian dan pemohon suaka yang memegang Kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peningkatan dua kali ganda dari 75,617 orang pada 2009 kepada 185,760 orang pada Mac tahun ini.
“Dari 160,332 orang (86.3 peratus) keseluruhan pelarian dan pemohon suaka ini adalah pelarian dari Myanmar dan 107,433 orang (67.0 peratus) dari Myanmar iaitu etnik Rohingya.
“Pelarian dari negara lain mempunyai signifikan ialah Pakistan (7,109), Yemen (3,466) Afghanistan (3,444), Somalia (3,161) dan Syria (3,161),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka, Majlis Keselamatan Negara di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.
Selain itu, tindakan UNHCR yang mendaftarkan 948 orang didakwa sebagai pelarian dari Indonesia dan antara alasan yang diberikan adalah kerana berkahwin dengan pelarian lain di Malaysia.
“Walaupun diketahui bahawa negara tersebut tidak mengalami sebarang krisis kemanusiaan,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan akan memberikan penekanan terhadap perancangan dan usaha untuk mengukuhkan peranan kerajaan mengenai pengurusan pelarian dan pemohon suaka melalui empat kluster penambahbaikan utama.
Antaranya mekanisme pengurusan pelarian dan pemohon suaka melalui penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa dan pasukan petugas khas.
“Meningkatkan keupayaan dan penglibatan agensi kerajaan di dalam penentuan status pelarian yang sebelum ini dilaksanakan secara unilateral oleh UNHCR serta pendaftaran pelarian dengan kerajaan.
“Penyelarasan penguatkuasaan serta perundangan bagi pelarian dan pemohon suaka yang berada di dalam negara.
“Sistem Sokongan Sosial (hanya kepada Pelarian yang berdaftar dengan Kerajaan) iaitu penyelarasan pemantauan, bantuan dan sokongan sosial sepanjang tempoh keberadaan sementara pelarian dan pemohon suaka di dalam negara.
“Perincian mengenai penguatkuasaan penambahbaikan-penambahbaikan ini akan dimaklumkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Selain itu, peranan dan penglibatan entiti Kerajaan, UNHCR dan NGO di dalam negara dan luar negara perlu diselaras dan diperkemas dalam isu membabitkan pengurusan pelarian dan pemohon suaka ini.
“Penekanan akan diberikan terhadap mekanisme pengurusan dan penguatkuasaan yang efisien, dasar-dasar membabitkan kebajikan dan sosial di samping menjamin keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette