Lau Chin Kok PH teng chang khim lynas
Lau Chin Kok

KUALA LUMPUR – Mana-mana pemimpin politik yang sebelum ini lantang membantah operasi kilang memproses nadir bumi milik Lynas Sdn Bhd di negara ini digesa memohon maaf secara terbuka.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok berkata, langkah itu perlu dilakukan setelah mereka melemparkan pelbagai tohmahan dan fitnah terhadap Lynas bagi meraih keuntungan politik semenjak syarikat itu beroperasi pada 2012.

Malah, katanya, parti politik yang pernah mendalangi ‘himpunan hijau’ sejauh 300 kilometer (km) dari Kuantan ke bangunan Parlimen yang turut disertai oleh kira-kira 20,000 orang di Dataran Merdeka pada 2012 juga perlu tampil menjelaskan pendirian mereka sama ada kilang Lynas masih dilabel sebagai ‘loji nuklear’.

“Sedia maklum, ketika ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah memberikan lampu hijau kepada pengeluar nadir bumi itu bagi meneruskan operasinya di kilang mereka di Gebeng, Kuantan selepas 1 Julai ini.

“Tiba masanya pemimpin-pemimpin parti politik bercakap benar kepada rakyat berhubung projek-projek ilham kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditentang habis-habisan sebelum ini tetapi diteruskan sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menjelaskan, pelanjutan tempoh enam bulan kepada Lynas adalah bagi memastikan rantaian bekalan nadir bumi global tidak terjejas.

Menurut beliau, keputusan itu tidak mengubah ketetapan kerajaan telah menolak permohonan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen yang ditetapkan sebelum ini. – MalaysiaGazette